PRN Melaka: Umum bertanding Bebas, Norhizam yakin menang besar

Shuhada Abdul Kadir
November 7, 2021 13:47 MYT
Norhizam meletakkan keyakinan lebih 80 peratus untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 lalu atas tiket Pakatan Harapan (PH). - Foto Astro AWANI
PENGKALAN BATU: Persoalan ke mana hala tuju bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang terjawab selepas dia mengumumkan akan tetap mengambil bahagian sebagai calon Bebas.
Malah, Norhizam turut meletakkan keyakinan lebih 80 peratus untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Katanya, logo yang akan dipertaruhkan pada pilihan raya itu nanti diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas selesai menghantar borang penamaan calon esok.
“Saya ingin beritahu saya tidak hilang dari radar dan parti ini hanya satu logo dan simbol sahaja kerana kalau kita tabur (khidmat) pada rakyat, InsyaAllah kita akan menang dan saya yakin instinct (firasat) saya juga mengatakan 80 peratus saya akan menang.
“Saya bukan cakap kosong, saya ada KPI selama lebih tiga tahun turun padang menyantuni rakyat. Untuk (menang) dia (pemimpin) kena berjiwa rakyat, macam mana kita nak bantu rakyat kalau tidak berjiwa rakyat.
“Setiap kali saya turun (kawasan) ada makcik sampai menangis, sebelum ni tidak ada wakil rakyat pun turun menyantuni beliau tanya soal sakit, lampin pakai buang atau kebajikan, tidak ada datang, tetapi di bawah saya sebagai calon Bebas, banyak masalah diselesaikan. Saya tidak ada IR, tetapi saya ada JR (jiwa rakyat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Taman Lagenda, di sini pada Ahad.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka: Siapa yang untung?
Mengulas soal tawaran diterima selepas ditolak Majlis Presiden PH sebagai calon PRN, beliau mengakui menerima banyak tawaran daripada parti politik untuk dipertaruhkan pada pilihan raya ini.
“Saya boleh katakan ada lebih empat parti tawar saya tetapi tidak bolehlah sebut parti mana, saya yakin kenapa mereka nak ‘offer’ saya sebab saya antara wakil rakyat yang buat kerja.
“Saya nak beritahu siapa kata Bebas tidak boleh berkhidmat, Melaka ada 28 wakil rakyat tetapi lagi 27 ini buat kerja atau tidak ? Jangan sebab PRN baru nak turun padang, wakil rakyat (sepatutnya) sanggup hambakan diri untuk rakyat berkhidmat 24 jam,” tambahnya.
Selain itu mengulas saingan calon di DUN Pengkalan Batu, katanya itu tidak menjadi cabaran buatnya memandangkan beliau lebih awal memulakan gerak kerja di kawasan itu.
“Danish (calon PH) bukan anak tempatan, dia ibarat ‘parachute’ dan saya tidak kenal dia. Datuk Khalsum (calon Barisan Nasional) pula dari segi gerak kerja saya dah gerak laju dari dia kurang-kurang nak jadi calon kena Berkhidmat dua tahun.
“Kalau dia pun tak turun padang menunjukkan minat, itu biar rakyat nilai lah. Rakyat bukan pilih lagi parti, tetapi siapa pemimpin yang akan berkhidmat,” katanya.
Selain itu, mengulas soal hubungan bersama dua lagi rakan iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang telah diumumkan sebagai calon PH, ujarnya hubungan mereka baik dan tidak berasakan dirinya teraniaya.
#PRN Melaka #Norhizam Hassan Baktee #calon Bebas #ADUN Pengkalan Batu
;