PRN Melaka: UMNO tak pernah sibuk nak damaikan Pas dengan Amanah - Khaled Nordin

Firdaus Azil
November 10, 2021 10:14 MYT
MOHAMED KHALED: Pas tidak boleh mengikat UMNO dengan MN dan pada masa yang sama mendambakan PN; Pas wajar terus dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan apa yang ia kehendaki. - Gambar fail
MELAKA TENGAH: Keputusan Pas untuk bersama dengan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan Muafakat Nasional itu hanya wujud pada nama, bukan pada semangat, tegas Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Naib Presiden UMNO itu berkata, laungan slogan ‘Muafakat Nasional demi perpaduan Ummah’ hanyalah halwa telinga, namun hakikatnya dalam politik, kepentingan lain adalah keutamaan.
Katanya lagi, UMNO tegas tidak mahu kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kerana parti itu lahir untuk menggantikan UMNO, dan Pas, kata Khaled lagi, harus menyedari hakikat itu.
“Kerana itu UMNO tidak memerlukan Pas untuk mendamaikan ia dengan Bersatu. Seperti UMNO juga tidak pernah mengusahakan damai antara Pas dan Amanah demi kepentingan ummah kerana UMNO tahu sejarah keduanya.
“Pas tidak boleh mengikat UMNO dengan MN dan pada masa yang sama mendambakan PN. Pas wajar terus dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan apa yang ia kehendaki,” katanya dalam catatan di Facebooknya baru-baru ini.
Sumber Facebook MohamedKhaledNordin
Dalam PRN Melaka, persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru berlaku di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Pas bertembung dengan UMNO di tujuh kerusi - Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Duyong, Serkam, Merlimau, dan Bukit Katil.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, tiada parti yang patut mencari keuntungan dari pelbagai pihak, dalam pelbagai keadaan dan pada setiap masa.
“Keputusan Pas sebenarnya memberikan UMNO ruang dan peluang untuk kembali kepada BN yang sederhana, multicultural dan progresif. Ia tidak lagi terbelenggu dengan sesiapa, bebas mencorakkan jalan kehadapanya.
“Kerana UMNO sedar, jalan kemenangan ialah sokongan semua kaum dan bukan hanya Melayu. Kerjasama parti Melayu bukan satu-satunya jalan untuk menguasai kerajaan,” katanya lagi.
Dalam politik yang ‘disruptive’, beliau berkata, kemenangan akan banyak bergantung kepada tawaran dasar yang lebih baik, kepimpinan yang lebih dinamik, rencana ekonomi yang lebih lestari dan rencam generasi muda yang mesti difahami.
“Jika hanya mencongak jumlah undi UMNO, Pas dan Bersatu itu sebagai tanda aras kemenangan, maka sangat lah simplistik. Politik Malaysia bukan sebegitu simplistik.
“Kerana rumitnya politik itu lah, maka BN adalah taruhan terbaik UMNO untuk Malaysia. Yang lain hanya sampingan,” tegasnya lagi.
#PRN Melaka #Mohamed Khaled Nordin #Muafakat Nasional #PAS
;