PRN Melaka: UMNO gerak jentera dari seluruh negara - Zahid

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 21, 2021 23:41 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menunjukkan bahawa parti itu tidak mengambil mudah cabaran yang akan diberikan dalam PRN yang julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia itu. - Gambar fail/BERNAMA
BUKIT KATIL: UMNO akan menggerakkan jentera seluruh negara bagi membantu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November ini.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia menunjukkan bahawa parti itu tidak mengambil mudah cabaran yang akan diberikan dalam PRN yang julung kali diadakan di Semenanjung Malaysia itu.
“Saya telah berpesan pada jentera supaya jangan pernah ambil mudah kepada kesiapsiagaan yang harus dipertingkatkan kerana biarpun ini hanya PRN, tetapi jentera semua parti yang menawarkan diri datang dari seluruh negara.
“Jadi dalam hal ini UMNO akan memobilisasi jentera dari seluruh negara dan penambahbaikan harus dibuat, bukan sembarangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di Bukit Katil, di sini pada malam Khamis.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ketua Bahagian UMNO Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali
Mengulas lanjut beliau berkata, UMNO juga akan menggunakan pendekatan berbeza bagi memberi pembaharuan kepada rakyat negeri itu.
“Maknanya perincian harus dibuat agar pengundi di Melaka dapat menerima hidangan baru atau sekurang-kurangnya berikan harapan baru kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN),” tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan hari pengundian PRN Melaka pada 20 November depan, hari mengundi awal pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.
#UMNO #jentera pilihan raya #jentera seluruh negara #pilihan raya negeri #PRN Melaka #Zahid Hamidi
;