PRN Melaka: Tuntut pembelaan, hak terbuka parti politik - Ab Rauf

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 18, 2021 11:53 MYT
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia termasuk tindakan Pakatan Harapan (PH) yang kekal mahu mencabar isu pembubaran DUN serta keabsahan kerajaan 'caretaker' ketika ini. - Gambar fail
MASJID TANAH: Semua parti politik berhak untuk menuntut apa jua bentuk pembelaan kepada mahkamah dalam menghadapi suasana Plihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia termasuk tindakan Pakatan Harapan (PH) yang kekal mahu mencabar isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta keabsahan kerajaan 'caretaker' ketika ini.
“Di Malaysia ini masing-masing mempunyai hak untuk menuntut pembelaan dalam apa juga suasana termasuk mengemukakan kepada mahkamah dan mahkamah akan memutuskan samada tuntutan itu boleh diabsahkan ataupun tidak.
“Semasa hari kenyataan pembubaran DUN, warta itu telah diserahkan kepada SPR, jadi yang (patut) dipersoalkan sebenarnya ialah mereka tidak meneliti kaedah pembubaran ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerus PH, Adly Zahri menegaskan pihaknya akan kekal membawa isu pembubaran DUN serta keabsahan kerajaan 'caretaker' ke mahkamah meskipun PRN sudah ditetapkan.
BACA: PRN Melaka langkah tergesa-gesa, PH kekal bawa isu pembubaran DUN ke mahkamah - Adly
Beliau yang menyifatkan pelaksanaan PRN sebagai langkah tergesa-gesa turut mendakwa PH belum memfailkan perkara itu ke mahkamah kerana masih menunggu warta pembubaran daripada Setiausaha Dewan DUN.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, pembubaran DUN berkenaan juga diadakan mengikut lunas undang-undang yang betul ketika Datuk Seri Sulaiman Md Ali masih mempunyai sokongan majoriti.
“Apa juga perakuan yang dibawa termasuk writ untuk membubarkan (DUN) ianya mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan negeri dan terserah kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan dewan mengikut perkara 19(2) undang-undang tubuh negeri melaka.
“Mereka menyatakan tidak percaya kepada kerajaan negeri pada pukul 1.30 petang dan mungkin kebijaksanaan Ketua Menteri, beliau sudah menasihati Tun Mohd Ali yang ketika itu beliau masih berada dalam keadaan emndapat sokongan majoriti.
“Jadi terserahlah kepada mana-mana parti yang tidak berpuas hati memohon keabsahannya di peringkat mahkamah untuk diadili, tetapi PRN akan tetap berjalan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdahulu mengumumkan hari pengundian PRN Melaka pada 20 November depan, hari mengundi awal pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.
BACA: PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR
Ia susulan DUN Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Mohd Ali Rustam.
#PRN Melaka #pilihan raya negeri #UMNO #Ab Rauf Yusoh #Pakatan Harapan #Dewan Undangan Negeri #DUN