PRN Melaka: Tiga bekas ADUN lompat gagal dapat mandat
Sinar Harian
November 20, 2021 04:13 MYT
November 20, 2021 04:13 MYT
MELAKA: Ketiga-tiga calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini menarik sokongan terhadap ketua menteri sehingga tercetusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka gagal mendapatkan kembali mandat rakyat.
Kesemua mereka masing-masing bekas Ketua Menteri Melaka, (bekas ADUN Sungai Udang) Datuk Seri Idris Haron, yang bertanding di DUN Asahan; Datuk Nor Azman Hassan (PH-Pantai Kundor), dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) juga disahkan tewas di tangan calon BN.
Idris tewas kepada Fairul Nizam, Nor Azman pula ditewaskan Tuminah Kadi, manakala Norhizam yang terkenal dengan gelaran ‘YB Viral’ juga dikalahkan oleh Datuk Kalsom Noordin.
DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober susulan tindakan Idris, Nor Azman, Norhizam dan Datuk Noor Effandi Ahmad (bekas ADUN Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan PRN Melaka pada 20 November.
Idris dan Nor Azman kemudiannya diumumkan bertanding atas tiket PH, manakala Norhizam mengumumkan untuk mempertahankan kerusi Pengkalan Batu atas tiket bebas.
Artikel asal di Sinar Harian