PRN Melaka: Tanding secara sihat, tiada provokasi - Muhamad Danish
Bernama
November 13, 2021 07:53 MYT
November 13, 2021 07:53 MYT
MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Muhamad Danish Zainudin berharap pihak lawan bertanding secara sihat tanpa sebarang provokasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Muhamad Danish yang berusia 25 tahun berkata ketika berkempen tidak perlulah melakukan perbuatan tidak sihat termasuk merosakkan bahan kempen parti lawan seperti papan iklan.
"Saya seorang calon muda, calon baharu, niat saya hanya untuk berbudi, niat saya hanya untuk berkhidmat, dan dengan tindakan provokasi tidak akan gentarkan saya untuk melangkah ke hadapan untuk bawa suara rakyat di DUN Pengkalan Batu," katanya pada Ceramah Perdana PRN Melaka secara maya, malam tadi.
Muhamad Danish berada dalam saingan lima penjuru menentang Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas), Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) dan Datuk Kalsom Noordin (Barisan Nasional).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.
-- BERNAMA