PRN Melaka: Sulaiman imbau kenangan mengundi di bilik darjah lama
Shuhada Abdul Kadir
November 20, 2021 10:18 MYT
November 20, 2021 10:18 MYT
LENDU: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merayu rakyat di Melaka keluar membuat pilihan tepat pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Sambil mengimbau kenangan hadir di sekolah lamanya untuk membuang undi, beliau berkata, peluang ini keluar mengundi perlu direbut rakyat bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.
“Kepada yang belum lagi keluar mengundi ambillah masa keluar dan saya mohon semua jangan lengah-lengah, keluar terus mengundi sekarang.
“Saya bimbang ada yang kata tidak mengapa, tahun depan ada mengundi lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU). Jangan salah faham, tidak ada lagi pilihan raya untuk DUN di Melaka ini tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengundi bersama isterinya Datin Seri Munira M Yusop di SK Durian Daun (K), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut percaya mampu menawan kerusi itu dengan mengambil kira sentimen dirinya sebagai anak tempatan di kawasan DUN berkenaan.
“Seperti mana saya sebut ini kampung saya tempat tumpah kelahiran saya, jadi kebanyakan pengundi yang saya temui, semua orang saya kenal.
“Sebab itu bila saya berjalan menuju ke pusat mengundi ini ramai yang menyapa saya, saya risau juga nanti orang ingat saya berkempen.
“Kelas itu (tempat mengundi) juga adalah kelas saya ketika darjah tiga dan saya juga merupakan calon no 3,”selorohnya.
DUN Lendu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Sulaiman dengan
Mejar (B) Abdullah Mahadi (Perikatan Nasional) dan Mohamad Asri Ibrahim (Pakatan Harapan).
Pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 lalu, Sulaiman menang kerusi DUN Lendu dengan majoriti 627 undi menewaskan Ridhuan Dion Bakar (PKR) dan Cikgu Arshad (PAS).