PRN Melaka: SPR sasar 70 peratus rakyat keluar mengundi

Fareez Azman
Oktober 18, 2021 13:12 MYT
Seramai 12,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN, manakala, sebanyak 217 buah pusat mengundi biasa akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang. - Gambar fail/Astro AWANI
BANDAR HILIR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 70 peratus daripada 495,196 pengundi yang layak, akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata sasaran itu agak rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik COVID-19 yang belum berakhir.
“SPR mensasarkan 70 peratus akan keluar mengundi dan setiap garis panduan akan berpandukan kepada pandangan serta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagi pihak SPR kalau boleh sememangnya kita mahu sasaran yang positif, tetapi memandangkan faktor COVID-19, sasaran itu agak rendah yang mana selalunya kita menetapkan 80 peratus akan keluar mengundi,” katanya.
BACA: PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR
SPR sasar 70 peratus akan turun mengundi 20 November ini
Beliau terdahulu mengumumkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 20 November depan manakala penamaan calon pada 8 November.
Katanya, seramai 12,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN, manakala, sebanyak 217 buah pusat mengundi biasa akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Bagi pusat mengundi awal, 21 buah pusat mengundi akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang dan baki 10 buah pusat mengundi awal akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” tambahnya.
[TERKINI] Sidang media SPR mengenai PRN Melaka
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
#PRN Melaka #politik melaka #Suruhanjaya Pilihan Raya #tarikh mengundi
;