PRN Melaka: SPR dan MKN diminta keluarkan SOP lebih jelas - Ab Rauf

Fareez Azman
November 8, 2021 13:32 MYT
Ab Rauf (kiri) meminta agar garis panduan berkempen diperinci, manakala Mas Ermieyati (tengah) menyifatkan SOP baharu berkenaan cabaran besar buat calon yang bertanding terutamanya calon baharu. - Gambar fail
MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) Melaka meminta agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memperincikan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, SOP yang diperkenalkan ketika ini dilihat tidak jelas terutama ketika pilihan raya dijalankan dalam norma baharu.
"Saya minta agensi terlibat mengawal selia PRN Melaka adalah lebih baik jika dapat memberikan satu SOP lebih jelas. Memandangkan negeri Melaka telah masuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), jadi kaedah untuk memberikan peluang kepada parti politik mesti jelas.
"Kalau orang duduk kedai dari pagi sampai petang boleh tak? Itu pun sebenarnya boleh jadi satu kaedah berkempen. Kedai duduk kedai kopi boleh, kenapa kempen tak boleh?" soalnya.
Tambah Ab Rauf, SOP yang diperkenalkan kepada semua calon dan parti politik itu perlu diperincikan semula agar dapat mengelak pelanggaran SOP berlaku.
Mengakui kempen PRN kali ini lebih mencabar, namun ujarnya beliau yakin bahawa ia langkah awal perlaksanaan norma baharu dalam pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, bagi Naib Ketua Srikandi Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin pula melihat SOP baharu berkenaan cabaran besar buat calon yang bertanding.
"Cabaran besar adalah untuk calon baharu sebab mereka perlu perkenalkan diri mereka lebih banyak. Saya harap media buat liputan untuk calon-calon baharu ini.
"Kelebihan memang kepada mereka yang pernah bertanding sebab sudah dikenali,” jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Isnin.
Terdahulu, SPR hari ini memberikan garis panduan kempen kepada setiap calon-calon yang bertanding dalam PRN Melaka, termasuk membabitkan pergerakan jentera sepanjang kempen PRN.
#PRN Melaka #MKN #SPR #SOP kempen #Barisan Nasional
;