PRN Melaka: SPR bersedia sepenuhnya kendali proses penamaan calon esok

Bernama
November 7, 2021 16:40 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada temu bual eksklusif bersama Bernama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, kata Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.
"Segalanya telah siap mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan diharap semuanya berjalan dengan lancar. Kita berhubung rapat dengan pelbagai pihak termasuk pihak meteorologi bagi ramalan cuaca dan bersedia sekiranya hujan pada waktu penamaan calon berlangsung," katanya kepada Bernama.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka: Siapa yang untung?
Tinjauan Bernama hari ini mendapati sesi simulasi proses penamaan calon menjadi sebahagian daripada aktiviti persediaan akhir petugas SPR di 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) menjelang hari penamaan calon.
Persiapan lain yang dilaksanakan termasuk susun atur kedudukan calon, pencadang dan pegawai di dalam dewan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta proses semakan borang, dokumen dan status insolvensi yang akan dikemukakan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Mengikut peraturan SPR, proses penamaan calon berlangsung hanya satu jam iaitu bermula pada 9 hingga 10 pagi.
-- BERNAMA
#PRN Melaka #Suruhanjaya Pilihan Raya #Abdul Ghani Salleh #Pengerusi SPR
;