PRN Melaka: Sering dicari sebab SOP terlalu ketat, KJ akhirnya munculkan diri demi Razak
Firdaus Azil
November 18, 2021 06:32 MYT
November 18, 2021 06:32 MYT
MELAKA TENGAH: Biarpun tidak kelihatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak mulanya tempoh berkempen, nama Khairy Jamaluddin, atau setidak-tidaknya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang beliau terajui, tetap disebut-sebut semua pihak bertanding.
Mana taknya, kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, sehingga mengakibatkan suasana kempen yang agak berbeza, menyebabkan Ahli Parlimen Rembau itu terus popular. Negatif atau positif, itu tafsiran masing-masing.
Seperti sedia maklum, dalam parti beliau Barisan Nasional (BN) sendiri, terdapat segelintir pihak yang merasakan tindakan beliau atau KKM mengenakan SOP yang ketat, adalah atas faktor politik.
Bagi masyarakat setempat pula, terutamanya pengundi Melaka, keselamatan dan kesihatan awam paling penting, bukan hal politik, terutama sekali negeri ini baru saja memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, sekali gus menyaksikan sektor ekonominya kembali segar.
Namun, dalam senyap-senyap, Khairy turun ke PRN Melaka pada Selasa, bagi membantu sahabat baiknya Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas.
Dalam video berdurasi lima minit, yang dikongsikan di Facebook rasmi Abdul Razak semalam, Khairy bertanya kepada rakannya itu tentang perjalanan kempen, sama ada ia berjalan lancar atau sebaliknya.
“Letih YB (Khairy) … mencabar. Lebih-lebih lagi dengan SOP yang KKM buat tu,” kata Abdul Razak, disambut deraian ketawa Khairy.
Namun, jelas Khairy, sebelum bermula pilihan raya, Majlis Keselamatan Negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan KKM untuk berbincang dengan SPR bagi melaksanakan SOP yang ketat, bagi mengekang penularan COVID-19.
“Sebelum mula pilihan raya, MKN bawah Perdana Menteri telah arahkan KKM berbincang dengan SPR, buat SOP paling ketat. Jadi masa pilihan raya ni, SOP agak ketat… tapi Datuk dah berjaya jumpa ramai pengundi, jadi saya rasa tak ada masalah di situ.
“Pada hari mengundi (ia) akan lebih tersusun. Kita pastikan yang bergejala tak masuk, atau yang positif tak boleh masuk. Ada SOP, tetapi SOP ini lebih kepada menjaga kesihatan awam. Tak halang pengundi. Yang positif pun kita tak kasi masuk,” jelas Khairy lagi.
Untuk PRN kali ini, Abdul Razak, yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Ajak, akan membuat cubaan kali kedua untuk memenangi kerusi Telok Mas.
Dalam saingan tiga penjuru pada pilihan raya yang lepas, Abdul Razak tewas kepada calon Pakatan Harapan Fendi Ahmad yang bertanding di bawah logo PKR, dengan majoriti 1,288 undi.
Kali ini beliau menghadapi saingan empat penjuru, dengan dicabar Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Rafiq Naizamohideen di bawah bendera Perikatan Nasional, Datuk Ashraf Minghat (Pakatan Harapan) dan Ariff Adly (Bebas).
Pada 14 Nov lepas, Abdul Razak melancarkan manifestonya tersendiri, dikenali sebagai Sepuluh Janji Razak, yang antara lain menawarkan 100 kilogram beras untuk pengundi yang mendirikan rumah buat kali pertama, menjadikan Telok Mas sebagai medan ikan bakar, bantuan pendidikan, wifi, dan aktiviti balai raya.
Sementara itu, Khairy sempat bertanya kepada Abdul Razak, sekiranya situasi keputusan DUN hanya perbezaan majoriti satu kerusi, dan ada pihak tertentu menawarkan jawatan Ketua Menteri kepadanya dengan syarat, perlu lompat parti.
Abdul Razak berkata: “YB … Janji Razak yang pertama - kesetiaan kepada parti. Tak mungkin saya terima tawaran itu kerana kesetiaan kepada parti lebih penting”.