PRN Melaka: Semua parti politik boleh guna RTM untuk promosi calon - Annuar

Firdaus Azil
November 13, 2021 09:42 MYT
Semua parti politik yang bertanding di PRN Melaka memperoleh lampu daripada Annuar Musa ntuk menggunakan RTM bagi mempromosikan calon dan poster mereka. - Gambar fail
MELAKA: Semua parti politik yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk Pakatan Harapan (PH) memperoleh lampu hijau untuk menggunakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik kerajaan bagi mempromosikan calon dan poster mereka.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kebenaran itu akan mula berkuat kuasa esok (14 November).
Beliau berkata, penyiaran bahan kempen itu dialu-alukan sekerap mungkin dengan secara adil dan saksama memandangkan semua parti politik yang bertanding di PRN Melaka terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan penularan wabak COVID-19 masih belum reda.
“Mengambil kira kesulitan kempen dan pengundi yang kurang mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing, maka kita (kerajaan) bersetuju supaya RTM menambah kekerapan menyiarkan biodata-biodata dan potret-potret calon yang akan bertanding mulai esok,” kata Annuar dalam sidang media di sini, pada Sabtu.
Kebenaran itu, jelas beliau, diberikan selepas beberapa pihak, khususnya PH menggesa agar ruang diberikan kepada semua pihak bertanding, memandangkan kekangan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada menyukarkan kempen secara fizikal.
Pada Rabu lepas, Annuar berkata, kerajaan sedia memberi ruang kepada calon-calon PRN Melaka termasuk daripada pembangkang untuk berkempen di stesen televisyen dan radio kerajaan.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook pula berpendapat, larangan mengadakan ceramah umum menyukarkan mereka untuk membuat penilaian tentang tahap sokongan, memperkenalkan calon serta meraih dana.
Dalam masa sama, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut memohon sedikit kelonggaran tentang SOP kempen parti politik di PRN Melaka.
#PRN Melaka #RTM #promosi calon #Annuar Musa