PRN Melaka sebagai kayu pengukur kekuatan parti politik menjelang PRU15 - Penganalisis
Kolumnis AWANI
November 3, 2021 11:45 MYT
November 3, 2021 11:45 MYT
PILIHAN RAYA Negeri Melaka adalah medan terbaik untuk mengukur kekuatan parti politik yang bertanding. Keputusan PRN ini adalah sebagai persiapan untuk PRU 15 dari segi strategi dan kerjasama politik sebenar.
Keputusan Pas untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional dalam PRN Melaka bermakna tiada kerjasama parti itu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional.
Keputusan Pas itu telahpun ditentukan oleh Majlis Syura Ulama yang bersidang baru baru ini.
Pas dilihat lebih selesa bersama PPBM berbanding UMNO walaupun terpaksa tidak menggunakan lambang bulan yang menjadi tradisi puluhan tahun.
Kalau dilihat dari rekod pencapaian di PRU14, PPBM memenangi 2 kerusi DUN sewaktu dalam Pakatan Harapan yang menggunakan lambang PKR. Ketika itu PPBM dapat sokongan majoriti dari pengundi kaum Cina dan India. PRN kali ini undi tersebut agak sukar untuk diperolehi disebabkan GERAKAN sebagai parti komponen dalam PN tidak punyai pengaruh dalam masyarakat Cina dan India.
Pencapaian Pas di negeri Melaka di PRU14 pun tidak begitu memberangsangkan. Pas tidak menang walau satu kerusi pun. Mereka hilang wang pertaruhan disemua tempat yang ditandingi kecuali 3 kawasan.
UMNO/BN kalah tipis di PRU14 dengan memenangi 13 kerusi DUN dari 28 yang dipertandingkan. Banyak faktor yang menyebabkan UMNO kalah tipis di Melaka yang menjadi kubu kuatnya sebelum ini.
Antaranya adalah janji bulan bintang dalam manifesto yang dapat menarik pengundi muda dan pengundi atas pagar. Percaturan kali ini jauh berbeza dari PRU yang lepas. Apakah keputusan PRN kali ini lebih baik bagi UMNO/ BN jika dibandingkan dari PRU14, masih menjadi tandatanya.
UMNO/BN dijangka menang selesa jika ada kerjasama Pas dalam MN. Begitu juga Pas dijangka dapat buat pertama kali bertapak dalam Dewan Undangan Negeri Melaka sekiranya bekerjasama dengan UMNO/ BN.
Namun Pas memilih jalan berliku. Apakah pertimbangan strategi yang diambil kira kali ini masih tidak dapat dipastikan.
Walaupun UMNO tidak bersama Pas, namun ia janganlah sampai jadi permusuhan kerana kedua-dua parti ini mewakili majoriti pengundi Melayu Islam di negara kita. Bertandinglah secara berhemah kerana dalam politik apa-apa pun boleh berlaku pada masa yang akan datang demi ukhwah Islamiyyah.
Semenjak dari tahun lepas lagi Pas sudah bagi bayangan bahawa parti itu akan bersama PPBM dalam gabungan Perikatan Nasional. Namun UMNO masih menaruh harapan agar Pas mengubah pendirian.
Terdapat juga segelintir akar umbi kedua dua parti tersebut maseh menaruh harapan agar Muafakat Nasional dapat direalisasikan di hari mendatang terutama pada PRU ke 15 kelak.
* Penulisan artikel oleh Penganalisis Politik, Shahbudin Embun.
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.