PRN Melaka: Rundingan antara Pas, UMNO, Bersatu sedang berjalan - Tuan Ibrahim
Bernama
Oktober 24, 2021 00:32 MYT
Oktober 24, 2021 00:32 MYT
SHAH ALAM: Rundingan dan perbincangan bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara Pas, UMNO dan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November depan sedang dijalankan, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata perlu ada muafakat antara ketiga-tiga parti, khususnya soal pembahagian kerusi bagi PRN itu agar dapat meminimumkan pertembungan sekiranya ia berlaku.
"Semua orang mengaku (jika pertembungan) tiga penjuru, Pas rugi, UMNO rugi, Bersatu pun rugi. Oleh kerana itu kita harus muafakat, Insya-Allah ada jalan keluar," katanya pada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pas Selangor di Seksyen 13 di sini malam ini.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata Pas berhasrat untuk bertanding di lima kerusi pada PRN Melaka, namun kawasannya belum dimuktamadkan lagi.
"Pas berhasrat untuk bertanding lima kerusi di Melaka. Lima kerusi ini saya sebut pada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak akan ambil kerusi UMNO. Kita ada 28 kerusi di Melaka, UMNO ada 13 atau 14 kerusi. Jadi lebih kurang ada 14 lagi kerusi yang kita boleh duduk berbincang untuk kita elak bertembung," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.
-- BERNAMA