PRN Melaka: Rasa Melayu Islam tertindas, Putra tidak takut mengaku rasis

Firdaus Azil
November 5, 2021 13:53 MYT
Khairul Azam berkata, Putra tidak takut untuk mengaku rasis, namun tidak juga menidakkan hak kaum lain yang terjamin dalam Perlembagaan. - Foto Astro AWANI
ALOR GAJAH: Merasakan nasib dan kepentingan orang Melayu Islam semakin ditindas di negara ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak takut untuk mengaku 'rasis' demi memperjuangkan suara masyarakat berkenaan.
Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa, parti-parti Melayu, Islam sedia ada, yang sekian lama mentadbir negara ini, dilihat gagal untuk memartabatkan kaum itu.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini, katanya lagi, adalan medan sulung untuk Putra memperkenalkan konsep 'Rasis Berpelembagaan', bagi memastikan nasib kaum Melayu dan Islam terbela, tanpa menidakkan hak-hak kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Putra adalah sebuah parti Melayu, mempunyai base Melayu, perjuangan berasaskan ke-Melayuan, parti yang tidak takut mengaku rasis. Namun walau pun rasis, tapi rasis berpelembagaan, berasaskan peruntukan Perlembagaan.
“Kita melihat banyak kali sebenarnya kepentingan dan hak orang Melayu dalam Perlembagaan tidak diperjuangkan mana-mana parti politik berasaskan Melayu, Islam.
“Mereka terlebih sikap liberal apabila memegang tampuk kuasa dan lihat sedikit demi sedikit kepentingan orang Melayu Islam itu dilenturkan, dikendurkan dan dikompromi atas dasar politik,” katanya kepada Astro AWANI.
Namun, katanya lagi, selari dengan peruntukan Perlembagaan, parti itu sama sekali tidak akan menidak atau menindas hak-hak kaum lain.
Khairul Azam berkata, buat masa ini mereka telah mengenal pasti beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri yang akan ditandingi, termasuk DUN Gadek, yang dimenangi oleh G Saminathan dari DAP– Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
Untuk rekod, kerusi Gadek, terletak di bawah Parlimen Alor Gajah dan 60 peratus daripada keseluruhan 12,922 pengundi terdiri daripada kaum Melayu.
Peguam itu turut berkata, Gadek merupakan testimoni yang sesuai untuk mereka tampil, selepas sekian lama kerusi majoriti Melayu itu tidak diwakili oleh ahli politik beragama Islam.
“Di Gadek ini, majoriti penduduk adalah Melayu Islam. Jadi yang pertama yang perlu dititikberatkan Putra adalah kebajikan orang Melayu dan Islam, kerana sekian lama Gadek ini wakil bukan Melayu Islam.
“Jadi, kita hendak melihat kembali bagaimana kedudukan orang Melayu Islam di Gadek, selepas beberapa penggal tak diwakili Melayu Islam.
“Isu tempatan seperti isu banjir, isu keputusan bekalan air, dan sebagainya, kepada saya ini semua perlukan perbincangan teliti, perbincangan dan perancangan dengan pihak yang menyediakan bekalan air, dan juga menyelenggara serta mengurus hal ehwal saliran sungai,” tambahnya.
#PRN Melaka #PUTRA #Khairul Azam Abdul Aziz #Rasis Berpelembagaan
;