PRN Melaka: Proses undi awal selesai, 89.9 peratus tunaikan tanggungjawab - SPR

Bernama
November 16, 2021 18:09 MYT
PRN Melaka kali ini menyaksikan sejumlah 11,557 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis. - Foto BERNAMA
MELAKA: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai apabila 10 lagi Pusat Pengundian Awal (PPA) ditutup pada 5.30 petang ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 89.9 peratus pengundi awal menunaikan tanggungjawab yang membabitkan seramai10,390 pengundi.
Sebanyak 10 PPA yang ditutup pada 5.30 petang ialah Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di DUN Machap Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak, SK Kem Terendak 1 dan II serta Dewan Borhan di DUN Sungai Udang.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: 11,557 mengundi awal hari ini
Turut ditutup PPA di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di DUN Ayer Keroh, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah di DUN Bukit Katil, Bilik Media Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di DUN Bandar Hilir dan Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di DUN Bemban.
Terdahulu, 21 daripada 31 PPA yang diwartakan ditutup lebih awal pada 2 petang.
PRN Melaka kali ini menyaksikan sejumlah 11,557 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.
Ia turut menyaksikan penekanan diberikan terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard selaras dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara memandangkan situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.
-- BERNAMA
#PRN Melaka #SPR #pusat mengundi ditutup #Suruhanjaya Pilihan Raya
;