PRN Melaka: Polis beri amaran ambil tindakan tegas pihak cetus provokasi esok

Bernama
November 19, 2021 16:51 MYT
Abdul Majid berkata pihaknya memberi jaminan keadaan keselamatan terkawal untuk masyarakat serta pengundi menunaikan tanggungjawab. - Gambar/ Bernama
MELAKA: Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi melampau sehingga boleh menganggu gugat ketenteramaan awam dan keselamatan negeri sepanjang proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya memberi jaminan keadaan keselamatan terkawal untuk masyarakat serta pengundi menunaikan tanggungjawab.
"Kita telah menggerakkan semua elemen yang ada dalam kontinjen negeri selain mendapat bantuan sumber manusia yang merangkumi kekuatan elemen daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengatur gerak menghadapi segala kemungkinan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.
"Polis juga akan memastikan proses pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula 8 pagi hingga 5.30 petang bagi membentuk kerajaan yang mendapat mandat itu berjalan lancar dan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Majid berkata semua pengundi yang layak diminta menjalankan hak dan tanggungjawab mereka tanpa perlu khuatir terhadap keselamatan diri.
Beliau berkata rakyat di negeri itu juga dinasihatkan supaya menerima keputusan pilihan raya itu dengan penuh kematangan dan hati terbuka .
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
-- BERNAMA
#PRN Melaka #hari pengundian #polis beri amaran #provokasi melampau
;