PRN Melaka: PN negeri sokong Mas Ermieyati calon ketua menteri - Dr Mohd Yadzil
Shuhada Abdul Kadir, Fareez Azman
November 18, 2021 22:08 MYT
November 18, 2021 22:08 MYT
BEMBAN: Perikatan Nasional (PN) Melaka menyokong penuh pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri sekiranya gabungan itu diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Naib Pengerusinya, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, beliau percaya semua calon serta kepimpinan PN juga senada dengan keputusan yang dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya mendukung penuh perutusan yang disampaikan oleh Tan Sri Muhyiddin, dalam memastikan kemenangan PRN Melaka kali ini dan harapan saya sudah tentu mahu memastikan jentera PN bagi PRN Melaka akan terus fokus memantapkan barisan kepimpinan komponen parti.
“Saya juga menyokong pemilihan Datuk Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri dan saya percaya barisan calon serta kepimpinan PN yang lain turut menyokong pemilihan beliau, berdasarkan penilaian Tan Sri Muhyiddin sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, ujarnya gabungan parti itu juga akan kekal komited membantu menabur khidmat kepada rakyat untuk jangka masa panjang.
“PN akan terus fokus untuk membantu rakyat, selain membangunkan negara dengan penuh dedikasi untuk jangka masa panjang demi agama, bangsa dan negara," katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan PN menamakan Mas Ermieyati yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara sebagai calon ketua menteri PN.
Muhyiddin berkata, pemilihan Mas Ermieyati itu diputuskan sebulat suara pada mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN.
PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, 20 November ini dengan Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala Pas (lapan) dan Gerakan (lima).