PRN Melaka: PN kaji punca kekalahan - Muhyiddin
Shuhada Abdul Kadir
November 20, 2021 23:33 MYT
November 20, 2021 23:33 MYT
BANDAR HILIR: Perikatan Nasional (PN) akan mengkaji secara mendalam punca kekalahan gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian itu merangkumi jumlah pengundi yang keluar, jentera serta hal-hal lain, yang berkemungkinan mendorong kepada kekalahan parti.
Jelasnya, kajian itu penting bagi gabungan parti berkenaan untuk dijadikan pengajaran bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Kita akan buat kajian yang lebih mendalam kerana ini pertama kali PN sebagai sebuah parti gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan bekerja sebagai satu pasukan yang boleh dikatakan mantap.
“Parti akan buat kajian terhadap keputusan ini sama ada ia berkaitan jumlah pengundi keluar yang tidak besar atau disebabkan oleh jentera atau masalah lain yang tentunya akan ada banyak pengajaran diambil PN bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di Hatten Hotel pada Sabtu.
Terdahulu, PRN Melaka menyaksikan PN hanya memenangi dua daripada 28 kerusi yang ditandingi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan juga Bemban.
Dalam pada itu ujar Muhyiddin, kekalahan berkenaan tidak sedikit pun menjejaskan permuafakatan yang terbina antara parti komponen di dalamnya.
Beliau yakin parti itu mampu menjadi pencabar utama Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.
“Kita sudah berhijrah jauh dan kita yakin bahawa prinsip dan asas pembentukan bukan sahaja Bersatu tetapi yang lain juga untuk menawarkan sesuatu menarik dan mendukung kerajaan ke arah yang lebih baik.
“Itu menjadi dasar perjuangan kita... apakah saya harus tinggal prinsip itu? Tidak sekali-kali, sebab itu bagi saya kita sudah berada di sini, kita akan terus beristiqamah bergabung bersama.
“Gabungan ini juga akan bekerja lebih kuat supaya kita sebenarnya akan menjadi pencabar utama pada BN,” tambahnya.