PRN Melaka: PH akui jentera kempen lemah - Guan Eng

Radhi Muslim
November 21, 2021 14:34 MYT
Meskipun kecewa dengan kekalahan PH dalam PRN Melaka, Guan Eng berpuas hati dengan kemenangan DAP di empat kerusi DUN dengan majoriti besar. - Astro AWANI
SANDAKAN: Pakatan Harapan (PH) mengakui kelemahan jentera kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi salah satu faktor PH gagal menawan negeri berkenaan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selain itu, peratusan keluar mengundi yang rendah turut menjadi faktor kekalahan PH.
Justeru beliau berharap kelemahan berkenaan perlu diteliti secara mendalam dan segera diperbaiki.
“Dari segi jentera kita lemah dan itu adalah sesuatu yang harus kita perbaiki. Faktor yang penting ialah peratusan keluar undi kali ini telah turun sebanyak 20 peratus daripada 85 kepada 65 peratus.
“Inipun telah mempengaruhi keputusan kerana sekiranya peratusan undi dapat ditingkatkan saya rasa tak perlu capai 20 peratus kalau 15 peratus pun dah cukup membolehkan kita menang,” katanya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] BN menang dengan majoriti dua pertiga kerusi
Beliau berkata demikian dalam sidang media dalam Konvensyen Biasa DAP Sabah, di Sandakan, pada Ahad.
Menurutnya, persempadanan pilihan raya turut menjadi faktor kemenangan besar pihak seteru mereka, Barisan Nasional (BN) dalam PRN terbabit.
Selain itu, larangan berceramah dan bertemu pengundi seperti kebiasaan turut menjadi faktor kekalahan PH.
Di sebalik kekalahan PH Guan Eng berkata, pihaknya berbangga dengan kemenangan empat kerusi DAP.
Jumlah majoriti kemenangan di empat kerusi berkenaan sangat besar dan kekalahan di empat kerusi yang ditandingi pula sangat rendah majoritinya.
“Kalau kita lihat untuk banyak kerusi bahawa itu kemenangan adalah tipis macam untuk DAP yang empat kerusi yang kita menang majoriti dia besarlah sekurang-kurangnya enam ribu hingga sebelas ribu empat kerusi yang kita menang.
“Empat kerusi yang kita kalah majoriti dia agak tipis iaitu diantara yang paling kecil 131 hingga seribu lebih,” Katanya.
PRN Melaka menyaksikan PH hanya berjaya memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi berbanding 15 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
#PRN Melaka #Lim Guan Eng #Pakatan Harapan #Sandakan
;