PRN Melaka: Peratusan undi rendah beri kelebihan kepada BN - Penganalisis

Raja Hisyam Raja Zaid
November 20, 2021 15:03 MYT
BN dikatakan mempunyai kelebihan jika peratusan mengundi rendah. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peratusan mengundi yang rendah mungkin akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Menurut penganalisis politik Prof Dr Siva Murugan Pandian, sehingga jam 2 petang Sabtu, peratusan semasa pengundi yang keluar menunaikan tanggunjawab mereka di Melaka adalah masih rendah.
Itu katanya, mungkin akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi PRN kali ini berdasarkan kelaziman sebelumnya.
“Kalau nak dilihat gelagat pengundian, sudah pasti mahu tidak mahu kita tidak boleh elak daripada bercakap tentang garis pengundi bandar, pengundi luar bandar, garis etnik pengundi Melayu, Cina dan lain-lain. Dan saya melihat bahawa itu yang akan menentukan siapakah yang sedang mendahului dan siapakah yang akan menjadi pemenang mutlak.
“Dengan peratusan yang rendah, lazimnya dikatakan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan berbanding dengan Pakatan Harapan (PH). Dan kalau kita lihat kepada 2018, untuk kita mahu jadikan sebagai nota kaki, sekitar 82 peratus memihak kepada Pakatan Harapan," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan faktor terhadap peratusan mengundi yang rendah yang sedang berlaku di PRN Melaka ketika ini adalah disebabkan oleh keadaan politik semasa negara yang membuatkan rakyat masih muak untuk melayani kerenah ahli politik.
Bagaimanapun katanya, PRN Melaka tidak boleh dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu kerana isu yang berbeza, pendekatan yang digunakan berbeza dan strategi yang digunakan oleh semua parti politik juga adalah berbeza.
Tetapi tambah beliau PRN Melaka akan memperlihatkan banyak signifikan yang menarik untuk diketengahkan terutamanya membabitkan aspek pasca pilihanraya khususnya kerjasama politik baharu yang mungkin akan terbentuk nanti.
#Astro #Astro Awani #Barisan Nasional #Cina #Melayu #Pakatan Harapan
;