PRN Melaka: Peratusan keluar mengundi amat rendah, Adly seru rakyat keluar undi segera
Firdaus Azil
November 20, 2021 13:07 MYT
November 20, 2021 13:07 MYT
MELAKA TENGAH: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sehingga 12 tengah hari yang rendah iaitu sekitar 36 peratus, dilihat agak membimbangkan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari.
Calon Ketua Menteri itu yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu mengharapkan rakyat di negeri itu dapat keluar lebih awal untuk laksanakan tanggungjawab mereka dengan segera selain pengundi di luar Melaka dapat kembali dengan segera.
Katanya lagi, peratusan keluar mengundi yang rendah dikhuatiri akan menyebabkan kerajaan negeri akan dibentuk oleh suara minoriti sekali gus tidak menggambarkan sentimen sebenar rakyat Melaka.
“Saya lihat sehingga jam 12 ini, kadar keluar mengundi di Melaka masih rendah. Tak sampai 40 peratus. Kita harap rakyat Melaka laksanakan tanggungjawab kita untuk segera keluar mengundi untuk Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya kepada Astro AWANI.
Beberapa pemerhati politik berpandangan, peratusan keluar mengundi yang rendah akan menjejaskan peluang PH untuk memenangi kerusi-kerusi marginal iaitu majoriti kurang dari 1,000 undi.
Bagaimanapun, dengan situasi begitu, ia memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk mengekalkan kerusi sedia ada di samping merampas kembali kerusi yang mereka kalah sebelum ini.
Dalam pada itu, Adly turut mengulas mengenai laporan di beberapa pusat mengundi, tentang petugas-petugas parti PH telah diarahkan keluar oleh ketua-ketua pusat mengundi berkenaan atas alasan melebihi masa yang dibenarkan.
“Memang kita terima laporan dari wakil calon kita, ada sebahagian ejen tempat mengundi kita diarahkan keluar lepas dua jam, kerana ketua tempat mengundi itu tidak memahami peraturan itu.
“Peraturan menyebut mereka boleh bertugas sekurang-kurangnya dua jam. Kita mengarahkan petugas kita untuk terus bertugas dan mereka telah dibenarkan semula untuk bertugas.
“Jadi kita harap ketua tempat mengundi itu peka dengan peraturan sedia ada yang telah ditetapkan oleh SPR Malaysia itu sendiri,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan beberapa petugas dan wakil calon PH di DUN Ayer Molek telah diarahkan keluar dari pusat mengundi oleh ketua tempat mengundi.
Selain itu, media melaporkan terdapat aduan polis mengenai parti politik yang dilihat masih menjalankan kempen dan sengaja membuka barung untuk meraih undi biarpun ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954).