PRN Melaka: Perang bendera mula rancak
Bernama
November 9, 2021 17:30 MYT
November 9, 2021 17:30 MYT
MELAKA: Pertembungan banyak penjuru di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, mula menyaksikan kemeraihan suasana berkempen parti-parti yang bertanding.
Tinjauan Bernama mendapati perang bendera yang menjadi tradisi dalam kempen pilihan raya kelihatan mula rancak walaupun parti-parti bertanding tidak dibenarkan berkempen melibatkan perhimpunan orang ramai bagi mengekang penularan COVID-19 pada PRN kali ini.
Bendera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah mula memenuhi kawasan strategik dan tepi jalan raya terutamanya di sekitar perkampungan penduduk.
DUN Duyong, Ayer Molek, Lendu dan Bukit Katil antara kawasan yang didapati paling banyak dinaikkan bendera gabungan parti-parti yang bertanding.
Bagaimanapun, bendera Perikatan Nasional (PN) masih belum menunjukkan taringnya apabila hanya beberapa kawasan DUN seperti Ayer Keroh dan Pantai Kundor, kelihatan bendera pakatan itu.
Selain bendera, perang poster calon dan sepanduk yang memujuk pemilih untuk mengundi calon parti bertanding juga sudah mula meriah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala undi awal pada 16 Nov, susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.
-- BERNAMA