PRN Melaka: Pengundi perlu pakai pelitup muka, sanitasi tangan di pusat pengundian - SPR

Fareez Azman
November 19, 2021 13:37 MYT
Pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal. - Gambar hiasan
MELAKA: Semua pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di pusat pengundian.
Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, garis panduan khas PRN Melaka akan dikuat kuasa di setiap pusat pengundi.
"Pada hari mengundi, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.
"Pengundi perlu menggunakan pensanitasi tangan di empat stesen di dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Ikmalrudin, petugas pilihan raya akna memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan dipatuhi.
Bagi pengundi yang bergejala, jelas Ikmalrudin, tetap akan dibenarkan mengundi di khemah khas.
"Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
"Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut. Manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke pusat mengundi," jelasnya lagi.
Mengulas mengenai kempen, semua parti politik yang bertanding dilarang berkempen selepas jam 11.59 malam 19 November 2021 termasuk di dalam media sosial.
"Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.
"Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.
"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang," jelasnya lagi.
#PRN Melaka #pengundi #Sanitasi tangan #SOP #kesihatan
;