PRN Melaka: Pengundi perlu berhati-hati dengan strategi pembunuhan karakter calon - Zahid

Bernama
November 10, 2021 00:02 MYT
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihati pengundi di Melaka agar berhati-hati dengan strategi pembunuhan karakter yang bertujuan merosakkan nama baik calon parti komponen itu. - Gambar fail/BERNAMA
MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihati pengundi di Melaka agar berhati-hati dengan strategi pembunuhan karakter yang bertujuan merosakkan nama baik calon parti komponen itu.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Presiden UMNO itu menerusi catatan di Facebook malam ini berkata ia juga bertujuan memesongkan perhatian rakyat daripada isu dasar kepada yang menyerang peribadi calon.
"Bagaimanapun, saya yakin rakyat Melaka berfikiran rasional dan dapat menilai propaganda yang memanipulasi. BN bercerita tentang mengembalikan kestabilan demi kemakmuran Melaka, mereka pula gigih memperlekeh calon BN.
"Semoga rakyat Melaka tidak menghiraukannya kerana yang penting (adalah) bersama mengembalikan Melaka ke landasan sebenar. Kita sudah bosan dengan pendekatan lawan politik BN menghasut rakyat membenci dan menghina peribadi," katanya.
Ahmad Zahid berkata fokus utama parti ialah untuk BN kembali sebagai sebuah kerajaan demi masa depan rakyat dan negara.
-- BERNAMA
#PRN Melaka #pembunuhan karakter #Zahid Hamidi #Barisan Nasional #pilihan raya negeri #calon
;