PRN Melaka: Pengundi mahu buat pembetulan - Penganalisis politik
Madiha Abdullah
November 20, 2021 06:20 MYT
November 20, 2021 06:20 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) seakan-akan membawa maksud rakyat negeri itu mahu 'kembali ke pangkal jalan'.
Penganalisis politik Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin berkata, ia juga memberi kelebihan dan keyakinan yang sangat diperlukan oleh Barisan Nasional.
Namun cabarannya kini terletak kepada bagaimana kemenangan itu akan diuruskan BN, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.
"Satu hari di Melaka memberi tafsiran semula terhadap banyak perkara, dalam politk dan gabungan parti.
"BN sangat perlukan kemenangan untuk kembalikan kedudukan mereka, khususnya dari dulu lagi mereka bercakap tentang 'go solo' dan sekarang ini mereka berjaya di Melaka.
"Saya yakin Pilihan Raya Umum 15 akan berlaku dalam setahun dua ini kerana mereka tentu tidak mahu panas sekarang jadi sejuk.
"Sekarang masa untuk kita lihat bagaimana mereka uruskan kemenangan itu, ini cabaran sebenar mereka selepas ini," katanya ketika muncul dalam program khas Melaka Memilih yang disiarkan Astro AWANI, pada Sabtu.
Hal itu dipersetujui penganalisis politik, Amir Fareed Rahim, yang melihat keputusan itu bukti rakyat mahukan kestabilan dan 'pembetulan' daripada situasi 2018.
"Kempen BN menekankan kepada kestabilan dan kemakmuran dan ini beri kelebihan kepada mereka. Selain itu strategi seperti meletakkan lebih 80 peratus muka baharu satu perkara yang positif untuk mereka.
"Tetapi voter turn out juga faktor yang besar juga kepada kemenangan BN. Dan ini juga akan menjadi perkara yang mahu dilihat rakyat selepas ini.
"Apabila kemenangan itu tipis, siapa mahu claim kemenangan itu? Bagaimana nak uruskannya?
"Mereka berkempen tentang kestabilan tetapi perlu juga ambil kira hal tadbir urus, kena beri komitmen terhadap isu rasuah.
"Banyak muka baharu dan anak muda dalam PRN kali ini, kena beri mereka ruang. Janganlah belia beri protfolio belia, sebaliknya beri mereka portfolio penting seperti pelaburan, pendidikan," ujarnya.
BN berjaya memenangi PRN Melaka ke-15, dengan kedudukan selesa dua pertiga majoriti.
Keputusan rasmi menunjukkan BN, yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC berjaya mendapat 21 daripada keseluruhan 28 kerusi.