PRN Melaka: Pembangkang sebulat suara setuju guna logo PH, pembahagian kerusi kekal
Umavathi Ramayah
Oktober 29, 2021 12:41 MYT
Oktober 29, 2021 12:41 MYT
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) sebulat suara memutuskan untuk menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil selepas mesyuarat Majlis Presiden PH dengan kepimpinan parti termasuk DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
"PH telah bermesyuarat dengan Majlis Presiden PH dan kepimpinan semua parti gabungan bagi membincangkan tentang logo parti dan pelbagai pandangan (saya terima), kita hormat semua pimpinan parti.
"Tapi keputusan kita untuk PRN Melaka, sebagai ujian permulaan, sebagai test, kita sebulat suara menggunakan logo PH. Jadi seluruh kekuatan PH, DAP, Amanah dan PKR hanya akan menonjolkan logo PH," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, pada Jumaat.
Sidang media itu turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Pembangkang menjelaskan, dalam PRN Melaka, gabungan itu akan berjuang atas logo, satu pendirian dan satu manifesto di peringkat negeri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan pembahagian kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Beliau berkata, DAP akan kekal dengan lapan kerusi sementara Amanah (sembilan kerusi) dan PKR (11 kerusi).
"Kita juga bincang mengenai jangka panjang mengenai pembahagian kerusi Parlimen di Melaka, kita sudah putusakan, di mana PKR dan Amanah, masing-masing kekal dengan dua kerusi, manakala DAP akan ditambah kerusi Parlimen Alor Gajah.
"Ini (kerusi Alor Gajah) sebenarnya adalah kerusi tradisi DAP, disebabkan didesak oleh Bersatu sebelum ini, maka Alor Gajah diserahkan kepada Bersatu, sekarang kerusi ini akan kembali kepada DAP.
"Jadi di Melaka satu permulaan yang baik, kita sudah putuskan DUN dan Parlimen," katanya.