PRN Melaka: Pas bekerja sebagai satu unit, gabungan agamawan dan profesional
Israr Khalid
November 19, 2021 08:44 MYT
November 19, 2021 08:44 MYT
KUALA LUMPUR: Tanggapan rakyat tentang ‘pak lebai’ tidak mampu mentadbir masyarakat adalah tidak benar sama sekali, tegas calon Perikatan Nasional (PN) N.14 DUN Klebang, Bakri Jamaluddin.
Tidak hanya golongan agamawan, tetapi Pas bekerja sebagai satu unit bersama dengan golongan profesional dan pakar pelbagai bidang dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang digalas mereka.
Katanya, ia terlihat sendiri dengan keberadaan menteri-menteri daripada Pas yang menampilkan prestasi memberangsangkan semasa tempoh mereka di dalam Kabinet negara.
“Hari ini kita melihat dengan prestasi beberapa menteri yang mewakili parti Pas di peringkat pusat, kita dapat lihat bagaimana prestasi mereka, ketelusan mereka bekerja, integriti mereka.
“Ini memberi nafas baru khusus kepada kami di Melaka dan ini saya lihat dapat meyakinkan rakyat. Kalau selama ini rakyat melihat Pas adalah 'parti lebai', tetapi apabila mereka melihat prestasi menteri Pas yang lebai ini di (peringkat) pusat, nampaknya mereka ‘perform’."
Ujar Bakri, rakyat hari ini punyai akses luas untuk melihat, memerhati dan menilai pencapaian wakil-wakil rakyat dan menteri serta timbalan menteri Pas yang sebenarnya tidak seperti tanggapan umum itu.
“Walaupun kita panggil Menteri Alam Sekitar tu ustaz, dahulu mantan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kita pun ustaz, tapi sebenarnya di belakangnya adalah satu pasukan ahli-ahli profesional yang punyai pengetahuan dalam bidang teknikal dan sebagainya.”
Begitu juga di Melaka, kata Bakri, di mana calon-calon dari golongan agamawan ini boleh diharapkan sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan bersama rakan komponennya yang lain dalam perikatan itu.
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru pada Rabu yang dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: