PRN Melaka: Najib suruh Adly tanya Idris, ke mana perginya pampasan RM33 juta untuk nelayan?
Firdaus Azil
November 17, 2021 14:01 MYT
November 17, 2021 14:01 MYT
MELAKA TENGAH: Calon Ketua Menteri Pakatan Harapan, Adly Zahari perlu bertanya sendiri kepada Datuk Seri Idris Haron sekiranya peruntukan pampasan RM33 juta untuk golongan nelayan telah habis digunakan sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah Melaka.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, tanda tanya itu merupakan antara tuduhan rawak yang dikeluarkan oleh pihak lawan BN.
Kata bekas Perdana Menteri itu lagi, Adly perlu mendapat gambaran yang sebenarnya sekiranya ada penyelewengan sebelum cuba menimbulkan persoalan itu.
“Kami (BN) tak tahu jika tuduhan kamu pagi ini benar atau tidak. Sebab itu, saya saran kamu tanya pada calon Pakatan Harapan (PH) untuk DUN Asahan (Idris Haron). Selepas korang (kamu semua) bincang, barulah kamu beritahu kam cerita sebenar.
“Sama ada calon nombor 5 DUN Asahan benar-benar selewengkan dana RM33 juta tersebut ataupun PH kedekut (ataupun sudah seleweng baki RM25 juta dana tersebut) dan hanya bayar RM8 juta daripada peruntukan RM33 juta itu pada nelayan,” kata Najib menerusi Facebooknya hari ini.
Isu tambakan laut merupakan antara topik hangat yang menjadi perbualan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini dengan ada pihak mendakwa terdapat ketirisan serta penyelewengan yang serius dalam projek berkenaan.
Selain itu, golongan nelayan mendakwa projek tersebut telah menyebabkan punca utama mata pencarian mereka terjejas, dan memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk menyediakan pampasan yang sewajarnya.
Awal hari ini, Adly, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka mendakwa, peruntukan RM33 juta tersebut sudah dibelanjaka untuk tujuan yang lain sewaktu zaman Idris menerajui Kerajaan Negeri pada era BN.
Adly yang akan mempertahankan kerusi beliau di DUN Bukit Katil mendakwa, dana terbabit telah disekalikan dengan dana am kerajaan negeri,walaupun sepatutnya disalurkan kepada golongan nelayan terbabit.
“Apabila kerajaan negeri kekurangan dana (sebelum 2018), mereka menggunakan dana pampasan ini untuk keperluan lain seperti membayar gaji penjawat awam dan program-program kerajaan.
“Sewaktu fasa pertama PH memerintah, kami membayar RM8 juta kepada nelayan, tetapi tidak dapat terus berbuat demikian selepas PH tumbang,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.