PRN Melaka: Mustahil dapat kawal, jamin pelaksanaan SOP berkesan - Anwar

Astro Awani
Oktober 27, 2021 15:04 MYT
Anwar Ibrahim berpandangan adalah mustahil untuk mengawal dan menjamin pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. - Foto Pejabat Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan adalah mustahil untuk mengawal dan menjamin pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Tegasnya, kerajaan khususnya UMNO telah menyebabkan perubahan di Melaka dengan mengenepikan suara majoriti, termasuk faktor kesihatan dan keselamatan rakyat berkait pandemik COVID-19.
"Kalau pilihan raya diadakan, saya yakin InsyaAllah akan ada perubahan (dalam isu pentadbiran) dan kita terpaksa teruskan.
"Tetapi, adakah kita boleh teruskan dengan keadaan sedemikian dan risiko yang didepani?
"Mustahil. Saya nak sebut di sini, kepada menteri-menteri yang petah bercakap, harus faham, ia (isu ini) bukan atas angin dikalangan perencana-perencana elit sahaja.
"Di peringkat bawah, adalah mustahil dapat kita kawal dan menjamin pelaksanaan SOP yang berkesan, tapi kalau kita terpaksa, kita terpaksa lakukan dengan kawalan sebaiknya," katanya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pertembungan tiga penjuru di PRN Melaka: Siapa yang untung?
PRN Melaka | Jangan lupa isu pangkal, bimbang isu keselamatan & risiko
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian pada sidang media di Kompleks Parlimen pada Rabu.
Mengulas lanjut, Presiden PKR itu turut menegaskan bahawa rakyat tidak harus lupa pucuk pangkal serta punca kepada permasalahan hingga memaksa PRN di negeri itu.
Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri serta kepimpinan kerajaan sementara di negeri itu harus mengambil langkah membetulkan kesilapan yang dilakukan.
"Saya nak tegaskan tentang langkah yang harus difikirkan betul-betul oleh pihak kerajaan, Perdana Menteri dan Kabinet.
"Dalam hal ini, mereka tidak boleh melepaskan tanggungjawab atas kesilapan besar yang dilakukan kerajaan pimpinan UMNO Melaka.
"Ia termasuk salah memberi nasihat dan tindakan gopoh-gapah Yang di-Pertua Negeri sendiri untuk membubar DUN tanpa memikirkan langkah yang berikutnya iaitu perlu diadakan PRN di Melaka.
"Namun, sementara itu, kita terpaksa teruskan kerja kita di Melaka dengan kekangan yang amat besar," jelasnya.

#PRNMelaka: Jangan lupa isu pangkal yang menyebabkan PRN berlaku. Mustahil kita dapat kawal dan menjamin pelaksanaan SOP yang berkesan. Jika terpaksa meneruskan PRN, kita terpaksa lakukan yang sebaiknya. - Ketua Pembangkang @anwaribrahim#AWANInews#MelakaMemilih pic.twitter.com/603y1wIAtN

— Astro AWANI (@501Awani) October 27, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Anwar Ibrahim #Ketua Pembangkang #PRN Melaka #pilihan raya negeri
;