PRN Melaka: Mas Ermieyati harap idea calon ketua menteri wanita dapat direalisasi
Shuhada Abdul Kadir, Fareez Azman
November 18, 2021 22:57 MYT
November 18, 2021 22:57 MYT
TANJUNG BIDARA: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berharap idea parti mengangkat wanita sebagai calon ketua menteri yang bakal menjadi sejarah politik negara, dapat diealisasikan.
Justeru, beliau merayu sokongan rakyat Melaka terutamanya pengundi wanita untuk memberikan sokongan kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
“Ini sebenarnya merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang harus saya pikul yang mana walau hanya menamakan (sebagai calon), saya menganggap ia sebagai suatu pengiktirafan kepada wanita bukan sahaja wanita PN, tetapi wanita di seluruh negara... bahawa hari ini tidak ada apa yang mustahil.
“Jadi saya mohon jasa baik semua untuk membuka ruang dan peluang serta kepercayaan bukan sahaja kepada saya tetapi semua calon PN bagi membolehkan lantikan seorang calon ketua menteri wanita itu dapat direalisasikan dan pada masa sama, kita dapat membentuk kerajaan (negeri) PN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan PN Tanjung Bidara yang turut dihadiri Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, hari ini.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PN menamakan Mas Ermieyati sebagai calon ketua menteri daripada PN.
Muhyiddin berkata, pemilihan Mas Ermieyati itu diputuskan sebulat suara pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN.
Ketika diaju soalan pengumuman ‘saat akhir’ yang dilihat sebagai strategi parti pada pecutan terakhir kempen bagi meraih undi, Mas Ermieyati berkata pucuk pimpinan mempunyai sebab tesendiri.
“Saya rasa pucuk pimpinan parti mempunyai sebab tersendiri kenapa diumumkan hari ini, walaupun lewat tetapi masih ada ruang untuk pengundi di luar sana membuat keputusan dan saya percaya dengan kebijaksanaan, kematangan dan hak yang ada di tangan mereka.
“Saya juga ingin rakamkan setinggi penghargaan kepada Pengerusi PN negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang sudah memberi satu asas kukuh di Melaka ini yang mana tanpa usaha beliau, tidak akan ada PN yang kukuh sebagaimana hari ini di negeri ini,” tambahnya.
Selain itu, berkongsi soal aspirasi yang bakal dijulang sekiranya idea calon ketua menteri wanita direalisasikan, jelasnya beliau mahu memastikan ekonomi rakyat di negeri ini terutamanya wanita dan anak muda terbela.
“Apabila kita berhadapan dengan pandemik COVID-19, apa yang penting untuk rakyat Melaka adalah makanan di atas meja kerana saya seorang ibu, seorang wanita dan kita lihat hari ini bagaimana ekonomi sesebuah keluarga terlalu menyempit, kita kena lihat bagaimana mencari pelabur serta mempergiat industri kecil sederhana (IKS).
“Bukan hanya wanita tetapi suara nak muda harus kita beri penekanan dan perhatian dalam sektor pekerjaan, aktiviti sosial dan juga pendidikan,” tambahnya.