PRN Melaka: Manifesto PH untuk rakyat Melaka hanya sekadar janji manis - Ahmad Zahid

Firdaus Azil
November 13, 2021 01:06 MYT
Ahmad Zahid dakwa, janji PH untuk pengundi Melaka, sama seperti janji mereka sewaktu memerintah negara, tidak lebih daripada mengelirukan rakyat. - Astro AWANI/Shahir Omar
MELAKA TENGAH: Pakatan Harapan didakwa hanya mengeluarkan janji-janji manis sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun itu semua tidak lebih daripada usaha mengelirukan rakyat, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, semua janji itu tidak ubah seperti ulangan, sewaktu negara berada di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan.
Katanya lagi, perkara itu sebenarnya perlu menjadi pertimbangan pengundi Melaka, agar mereka memilih parti yang betul untuk mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Mahu menggubal enakmen anti-lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan, tetapi inilah parti yang mengiktiraf `katak berprinsip Mahu mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang setaraf Exco, tetapi inilah parti politik yang memperkecilkan peranan Ketua Pembangkang semasa menjadi kerajaan.
“Mahu memberi hak peruntukan tahunan setara kepada setiap ADUN tanpa mengira parti, tetapi merekalah yang menafikan hak itu semasa berkuasa sebagai Kerajaan Persekutuan.Mahu mewujudkan peluang pekerjaan baharu di PBT dan GLC, tetapi inilah parti yang pernah kata saiz perkhidmatan awam negara terlalu besar dan patut dikurangkan,” katanya lagi.
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage
Beliau berkata, ia berbeza dengan manifesto yang telah BN bentangkan untuk PRN Melaka, dan pengundi akan mengetahui dokumen janji itu adalah sesuatu yang jujur, benar, dan berpijak pada bumi yang nyata.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO berkata, kekuatan BN ialah mempunyai ‘track record’ pentadbiran yang cekap.
Namun, kata beliau lagi, pada pilihan raya umum yang lepas, BN telah dikaburi dengan fitnah dan pernainan persepsi mereka yang sangat rakuskan kuasa.
“Sehingga telah memperdayakan rakyat dan InsyaAllah rakyat tidak terpedaya lagi. Orang Melaka akan buktikan. Awas janji palsu sedang berkeliaran,” katanya lagi.
#PRN Melaka #Ahmad Zahid Hamidi #Pakatan Harapan #janji palsu