PRN Melaka: "Makan bersama sahabat" - Hamzah kongsi gambar nikmati asam pedas bersama Takiyuddin

Firdaus Azil
Oktober 19, 2021 16:10 MYT
PRN Melaka bakal memberi bayangan tentang landskap pertembungan parti-parti politik sewaktu pilihan raya umum akan datang. - Foto Facebook Hamzah Zainudin
KUALA LUMPUR: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kian terasa, malah makin ramai pembesar-pembesar politik kelihatan berkunjung ke negeri itu, yang pada satu ketika merupakan tumpuan perdagangan terbesar di rantau ini.
Terbaharu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkongsi gambar sedang menjamu masakan ikonik negeri itu, iaitu Asam Pedas, bersama-sama dengan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Turut menyertai sesi itu restoran terkenal Asam Pedas Pak Man itu, ialah Naib Presiden parti masing-masing, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
“Piau betul makan hari ini, lebih-lebih lagi makan bersama sahabat,” menurut catatan ringkas Ahli Parlimen Larut merangkap Menteri Dalam Negeri itu lagi.
Sumber Facebook hamzahzainudinofficial
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: Penamaan 8 Nov, pengundian 20 Nov - SPR
Menurut pemerhati politik, PRN Melaka yang bermula 8 November (hari penamaan calon), sehingga 20 November (hari pengundian) itu, bakal memberi bayangan tentang landskap pertembungan parti-parti politik sewaktu pilihan raya umum yang akan datang.
Pada pilihan raya umum yang lepas, Melaka, yang sinonim dengan frasa ‘Bandar Bersejarah’, telah mencatatkan satu lagi sejarah apabila Barisan Nasional hanya mendapat 13 kerusi Dewan Undangan Negeri, berbanding Pakatan Harapan (15).
Susulan kegagalan itu, Pakatan Harapan telah membentuk Kerajaan Negeri, dengan menamakan ADUN Bukit Katil dari Parti Amanah Negara (Amanah) Adly Zahari sebagai Ketua Menterinya.
Namun, Adly, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, terpaksa melepaskan kerusi Ketua Menteri pada Mac 2020, kerana konflik di peringkat persekutuan, menyaksikan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan, termasuk dua ADUN, Datuk Norhizam Hasaan Baktee (DAP – Pengkalan Batu) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR – Rembia).
Susulan situasi itu, ADUN Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN – Lendu)_telah dipilih menjadi Ketua Menteri yang baharu.
Namun, negeri itu sekali lagi dilanda kemelut politik apabila empat ADUN, termasuk Norhizam, membuat keputusan tidak menyokong kepimpinan Sulaiman, menyebabkan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN.
PRN kali ini juga bakal menyaksikan UMNO bertanding di bawah bendera Barisan Nasional, susulan keputusan Majlis Kerja Tertingginya untuk tidak mempunyai sebarang hubungan politik dengan Bersatu.
Selain itu, PAS juga akan bersama-sama dengan Bersatu di bawah bendera Perikatan Nasional (PN), sekaligus memberi bayangan tentang kerjasama politik yang bakal berlaku pada PRU nanti.
#PRN Melaka #Hamzah Zainuddin #Takiyuddin Hassan #Perikatan Nasional
;