PRN Melaka: Lima calon Gerakan tandatangan SD
Bernama
November 7, 2021 04:31 MYT
November 7, 2021 04:31 MYT
MELAKA: Lima calon Perikatan Nasional (PN) daripada parti Gerakan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD), kata Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Beliau berkata calon berkenaan ialah B. Dhanesh yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Michael Gan Peng Lam (Ayer Keroh); Clarice Chan Ming Wang (Banda Hilir), Fong Khai Ling (Kota Laksamana) dan Patrick Ng Chin Kae (Kesidang).
Katanya langkah Gerakan meminta bakal calonnya menandatangani akuan bersumpah itu ialah untuk memastikan lima calonnya itu kekal dengan parti selepas memenangi kerusi yang ditandingi.
"Oleh itu parti Gerakan mengambil tindakan untuk meninggikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terutamanya pengundi-pengundi di kawasan yang ditandingi Gerakan," katanya dalam sidang media secara hibrid di Kuala Lumpur semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
-- BERNAMA