PRN Melaka: Kuat kuasa SOP atau kita 'terkurung' semula

Sinar Harian
Oktober 26, 2021 08:55 MYT
Ada yang mengatakan, PRN Melaka akan jadi petunjuk atau tanda aras penting untuk PRU15, malah ia juga akan menguji sejauhmana pelaksanaan SOP yang dipatuhi sepenuhnya. - Gambar fail
BANYAK pihak mula melahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula 8 November hingga 20 November ini. Mereka bimbang kes COVID-19 akan meningkat semula disebabkan oleh kempen yang bakal dijalankan sepanjang tempoh pilihan raya itu.
Jentera-jentera parti juga dijangka masuk ke negeri itu awal November ini untuk memastikan calon mereka menang.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Justeru, Kementerian Kesihatan menetapkan larangan berdasarkan peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
Larangan tersebut juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam SOP terkini Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Bagaimanapun, sejauh mana parti-parti politik atau calon-calon yang bertanding akan mematuhi peraturan yang ditetapkan? Mampukah pihak berkuasa memberikan peluang sama rata kepada pihak yang menyertai pilihan raya tersebut?
Ada yang mengatakan, pilihan raya di Melaka itu akan menjadi petunjuk atau tanda aras penting untuk Pilihan Raya Umum Ke-15. Malah ia juga akan menguji sejauhmana pelaksanaan SOP yang dipatuhi sepenuhnya.
Sehubungan itu, kita amat berharap pihak berkuasa dapat memastikan PRN Melaka ini dilaksanakan dalam keadaan terkawal atau rakyat Malaysia sekali lagi akan 'terkurung' di rumah masing-masing dek kerana kes COVID-19 meningkat semula.
Artikel asal di Sinar Harian
#PRN Melaka #SOP #perhimpunan #kempen
;