PRN Melaka: KKM tak pilih bulu, penganjur program BN di Asahan dikompaun

Firdaus Azil
November 14, 2021 13:37 MYT
Najib disertai Ismail Sabri dan calon BN DUN Asahan di warung berkenaan untuk beramah mesra bersama peniaga dan orang tempatan. - Astro AWANI
ALOR GAJAH: Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengenakan kompaun RM20,000 terhadap penganjur program lawatan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.
Notis itu dikeluarkan oleh Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Jasin kepada Ketua Pusat Daerah Mengundi BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, atas kesalahan gagal mengawal penjarakan sosial.
Penganjur program tersebut ketika ditemui media, enggan memberi komen lanjut, dan terus berlalu bersama notis berkenaan.
“Tak apalah, nanti saya kena (saman) lagi,” katanya ringkas.
Terdahulu, Najib, yang juga bekas Perdana Menteri, tiba warung berkenaan sekitar jam 11.20 pagi, untuk beramah mesra bersama peniaga dan orang tempatan.
Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, tiba di lokasi berkenaan kira-kira setengah jam kemudian, dan disertai calon BN DUN Asahan Fairul Nizam Roslan.
Susulan itu, lokasi berkenaan menjadi tumpuan penduduk setempat, termasuk penyokong BN, menyebabkan penganjur mengalami sedikit kesukaran untuk mengawal penjarakan sosial.
Notis berkenaan dikeluarkan kepada penganjur selepas pemimpin-pemimpin berkenaan bergerak meninggalkan majlis.
Dalam pada itu, lawatan singkat Perdana Menteri sempena PRN Melaka sangat padat, iaitu beliau memulakan perjalanannya awal pagi tadi dengan melawat calon BN di DUN Sungai Udang Datuk Mohamad Ali Mohamad.
Menurut jadual yang diperolehi media, Ismail Sabri akan turut melawat bilik gerakan BN di DUN Rim, Lendu, dan Telok Mas.
Pilihan raya yang bakal berlangsung 20 November ini menyaksikan sekarang-kurangnya pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan Pakatan Harapan.
#PRN Melaka #Kementerian Kesihatan #kompaun #penjarakan sosial #Barisan Nasional
;