PRN Melaka: Kestabilan tidak kekal sekiranya tiada reformasi institusi - Pakar

Nickyson Nyambar
November 20, 2021 22:19 MYT
Reformasi dalam institusi seperti undang-undang pemecatan Adun anti lompat parti dan juga mekanisme undi tidak percaya konstruktif diperlukan dalam menjamin kelangsungan pentadbiran untuk jangka masa panjang, kata Prof Wong Chin Huat. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Pengukuhan dengan jumlah kemenangan kerusi yang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dapat menjamin kestabilan pentadbiran sekiranya tiada reformasi institusi.
Pandangan itu disuarakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asian Strategy dan Leadership Institute, Prof Wong Chin Huat yang memantau keputusan terkini Barisan Nasional (BN) yang memenangi 15 kerusi secara rasmi setakat 9.56 malam Sabtu.
"Saya merasakan kalau kita melihat pada majoriti sememangnya kukuh tetapi apa yang berlaku dalam politik adalah kebergantungan majoriti.
"Jadi dengan 21 kerusi itu bahawa ianya kukuh, tetapi ini tidak bermakna bahawa kestabilan ini akan berkekalan kecuali kita mempunyai reformasi institusi.
"Ini kerana pada masa depan sekiranya berlaku perbalahan secara peribadi, mungkin ada ADUN yang melompat (parti) lagi, ataupun parti yang berpecah dan kerajaan mungkin jatuh lagi.
"Apa yang penting kita perlu tanya dengan majoriti sebesar ini? Adakah UMNO akan kembali kepada rupa bentuk (kerajaan) sebelum 2018 ataupun kita akan mula melihat UMNO yang baharu, sungguhpun mempunyai majoriti tetapi akan membawa kepada reformasi dalam institusi dalam undang-undang pemecatan ADUN anti lompat parti dan juga mekanisme undi tidak percaya konstruktif? Ini adalah soalan penting yang kita perlu tanya kepada kerajaan UMNO yang baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Melaka Memilih dalam Astro AWANI pada Sabtu.
Dalam keputusan tidak rasmi, BN berjaya menubuhkan kerajaan di Melaka dengan memperolehi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka.
BACA: TIDAK RASMI: BN menang 21 kerusi, berjaya bentuk kerajaan di Melaka
Keputusan setakat ini menyaksikan BN menang di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Lendu, Ayer Limau, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Telok Mas, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
Pengundian di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula pukul 8 pagi dan berakhir tepat pukul 5.30 petang tadi dengan peratusan keluar mengundi sehingga pukul 4 petang adalah 61 peratus.
PRN Melaka terpaksa dilakukan ekoran pembubaran Dun pada 4 Oktober setelah empat Adun menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali.
#PRN Melaka #Barisan Nasional #pakar #Prof Wong Chin Huat #Melaka Memilih
;