PRN Melaka: Kenyataan Majlis Syura arah tolak Mas Ermieyati adalah palsu - Timbalan Presiden Pas

Firdaus Azil
November 19, 2021 22:48 MYT
Pas menggesa agar pihak yang bertanggungjawab terhadap perbuatan itu, untuk menarik sebaran tersebut, dan menjauhi perbuatan yang tercela demi kepentingan nafsu sendiri. - Gambar/ Media sosial
MELAKA TENGAH: Satu kenyataan media kononnya Majlis Syura Pas menolak pencalonan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, sebagai calon ketua kenteri daripada Perikatan Nasional (PN), adalah palsu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam satu kenyataan susulan malam ini berkata, ia juga merupakan satu fitnah yang berat.
Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, Pas menggesa agar pihak yang bertanggungjawab terhadap perbuatan itu, untuk menarik sebaran tersebut, dan menjauhi perbuatan yang tercela demi kepentingan nafsu sendiri.
“Saya telah menerima makluman berkenaan sebaran palsu menggunakan kepala surat Majlis Syura Ulama yang menyatakan tidak bersetuju terhadap calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin yang telah dinamakan oleh Presiden Perikatan Nasional.
“Kenyataan tersebut adalah palsu dan suatu fitnah yang berat. Saya meminta untuk mereka yang bertanggungjawab terhadap fitnah ini agar menarik balik sebaran palsu tersebut dan juga menjauhi perbuatan yang tercela demi kepentingan nafsu diri ini,” katanya lagi.
Terdahulu tular di media sosial kenyataan palsu berkenaan yang menggunakan kepala surat Majlis Syura Pas.
Kandungan surat itu antara lain, menolak pencalonan Mas Ermieyati, dan menggesa ahli Pas memberi undi kepada calon UMNO yang bertanding, demi perpaduan Muafakat Nasional (MN).
#PRN Melaka #PAS #Mas Ermieyati #berita palsu
;