PRN Melaka: 'Jika saya tidak bertanggungjawab, sudah pasti Malaysia hadapi PRU' - Muhyiddin

Firdaus Azil
November 11, 2021 23:04 MYT
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau enggan menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab. - Gambar fail/ Bernama
MELAKA TENGAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mendedahkan beliau mempunyai pilihan untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sewaktu berhadapan dengan krisis politik awal tahun ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, bagaimanapun beliau enggan menjadi manusia yang ‘tidak bertanggungjawab’, dan meletakkan rakyat Malaysia dalam keadaan bahaya, memandangkan COVID-19 masih menular, selain program vaksinasi juga berada di peringkat awal.
Namun, katanya ekoran sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pemimpin politik, rakyat Melaka kini terpaksa berhadapan dengan ancaman wabak itu ekoran terjadinya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya sedar orang Melaka tidak mahu pilihan raya. Bukan setakat itu, mereka juga marah, dan bertanya kenapa keadaan berlaku di Melaka? Sekiranya pemimpin politik Melaka sedar... bahawa Melaka masih berhadapan dengan masalah wabak belum dapat diatasi sepenuhnya.
“Saya boleh juga minta supaya YDP Agong untuk membubarkan Parlimen, dan dengan itu ada pilihan raya untuk pilih kerajaan baharu. Tetapi saya sedar, kalau saya buat begitu, saya manusia tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di Pentas PRN Melaka PN, yang disiarkan secara maya malam ini.
Pada Julai tahun ini, 15 Ahli Parlimen UMNO mendakwa beliau telah gagal dalam mengawal COVID-19, dan menarik balik sokongan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu, menyebabkan Muhyiddin tiada pilihan selain meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Susulan perletakan jawatan itu, Ahli Parlimen Bera, yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian mendapat majoriti yang diperlukan untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.
Biarpun menganggap dijatuhkan berulang kali oleh UMNO, Muhyiddin berkata, beliau mengambil sikap luar biasa dengan mencadangkan pemimpin UMNO sendiri untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.
“Tak tau mana-mana kitab (ada tertulis) hal begitu berlaku. Tapi untuk apa? Untuk selamatkan negara, daripada terjerumus, masuk kancah situasi politik... bagi saya tak disukai sebahagian besar rakyat. Iaitu kita tak bersedia untuk negara kita jatuh kepada Anwar Ibrahim. Lim Kit Siang, Guan Eng.
“Sebab tu saya tinggalkan mereka (Pakatan Harapan), dan saya membentuk Perikatan Nasional. Tapi sebab jaga maslahah (maslahat/ sesuatu yang berfaedah) am, maka saya rela supaya Ismail Sabri dicalonkan, dan lepas dapat sokongan semua parti termasuk UMNO yang 15 orang itu, beliau jadi PM,” katanya lagi.
#PRN Melaka #Muhyiddin Yassin #tidak bertanggungjawab #PRU
;