PRN Melaka: Jangan 'main tipu' ingkar SOP kempen

Shuhada Abdul Kadir
November 11, 2021 08:38 MYT
Idris berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menggunakan kreativiti masing-masing dan kekal patuh dengan garis panduan yang diputuskan. - Foto BERNAMA
JASIN: Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka digesa untuk tidak ‘main tipu’ sepanjang tempoh berkempen dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Mengakui rintangan yang terpaksa dihadapi calon sebalik SOP yang ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menggunakan kreativiti masing-masing dan kekal patuh dengan garis panduan yang diputuskan.
“Dalam hal ini kita kena ikut (suara) semua pihak termasuk ahli pakar, sama seperti SOP membabitkan soal masjid yang mana selain berpandu hukum, kita juga bertanya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang jaga kesihatan awam khususnya dalam soal nak menangani pandemik COVID-19.
“Sama juga SOP kempen PRN ini, kita ambil pandangan KKM, jadi kalau itu yang berlaku maka kita ikutlah kerana setiap sesuatu perkara yang terjadi ada pepatah menyebut, setiap ‘bala’ itu merupakan satu nikmat.
“Salah satu nikmatnya apabila berlaku pandemik ini, kami sendiri yang mungkin dari kalangan ustaz ini, sebelum ini tidak berapa pandai gunakan aplikasi ‘zoom’ dan sebagainya. Sekarang boleh guna ‘Facebook Live’ untuk kuliah, itu hasil apabila berlaku pandemik sebegini, kalau tidak kita pun tak pandai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini malam Rabu.
Pada kerusi itu, Exco Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Bilal Rahudin yang mempertaruhkan nasib di bawah gabungan PN bakal berdepan saingan empat penjuru menentang penyandang kerusi DUN itu, Datuk Zaidi Attan (Barisan Nasional), Muhammad Khomeini Kamal (Pakatan Harapan) dan Datuk Norazlanshah Hazali (Bebas).
BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Perang' PRN Melaka sudah bermula
Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata semua parti politik juga perlu berlapang dada dan bersedia menghadapi ‘hukuman’ oleh pihak bertanggungjawab sekiranya masih degil untuk akur dengan SOP yang ditetapkan.
“Kita ada undang-undang serta peraturan dan SPR juga ada peraturan yang mana tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab, jadi siapa yang langgar tidak kira la parti mana sekalipun kita semua kenalah ikut peraturan yang telah ditentukan,” tambahnya.
Dalam PRN Melaka, persaingan sekurang-kurangnya tiga penjuru berlaku di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Pas bertembung dengan UMNO di tujuh kerusi - Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Duyong, Serkam, Merlimau, dan Bukit Katil.
#PRN Melaka #SOP kempen #langgar SOP #Idris Ahmad
;