PRN Melaka: 'Idris, pilih tempat lain kalau nak ceramah, jangan ganggu mesyuarat UMNO' - Ahmad Maslan
Fareez Azman
Oktober 24, 2021 15:19 MYT
Oktober 24, 2021 15:19 MYT
KLEBANG: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mempersoalkan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang hadir dalam mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kecil pada Ahad.
Jelas Ahmad, Idris telah disahkan dilucut keahlian dan tidak sepatutnya bertindak demikian.
"Beliau telah digugurkan keahlian pd 5 Oktober 2021. Surat saya bagi dah serah. Dia buat penarikan diri menolak kerajaan negeri Melaka pada 4 Oktober lalu.
"Saya menyediakan surat pada 5 Oktober, saya serah kepada Datuk Seri Mohamad Ali (Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu) dan agaknya jam 5 atau 6 pagi dia dah bagi... dia dah tahu dah.
"Lepas itu sudah disahkan semula dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memang dia dah tergugur keahlian. Kenapa orang yang dah bukan ahli nak datang mesyuarat UMNO ini?" jelasnya ketika ditemui di Sungai Udang pada Ahad.
Mengulas lanjut, kata Ahmad, Idris sepatutnya memilih kawasan lain untuk berceramah dan bukannya dalam mesyuarat UMNO.
"Itu sesuatu yang pelik, tapi benar berlaku pada Datuk Seri Idris Haron.. Apa yang nak disesali lagi?
"Kalau nak ceramah, ceramah la tempat lain, jangan ganggu mesyuarat UMNO," katanya lagi.
Terdahulu, mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kecil kecoh selepas Idris muncul dan memberikan ucapan sebelum mesyuarat berlangsung di kediamannya di Klebang pada Ahad.