PRN Melaka: Idris Haron, Nor Azman sah bertanding tiket PH
Shuhada Abdul Kadir
November 6, 2021 17:32 MYT
November 6, 2021 17:32 MYT
AYER KEROH: Teka-teka ke mana hala tuju dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya terjawab apabila disahkan bakal bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pengumuman calon yang dijalankan secara maya sebentar tadi.
Katanya, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka bakal dipertaruhkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Nor Azman yang sebelum ini memenangi kerusi DUN Pantai Kundor atas tiket UMNO, dikekalkan di kerusi berkenaan.
“Seperti sebelum ini telah dimaklumkan agihan kerusi didalam PH adalah lapan DAP, sembilan Amanah dan 11 PKR. Kerusi di Asahan yang bakal ditandingi Idris sememangnya kerusi PKR dan DUN Pantai Kundor pula adalah kerusi Amanah.
“Sememangnya ada persefahaman antara semua pihak dan meskipun mereka bakal bertanding dibawah tiket PH, kedua-dua mereka ini telah menyertai parti - parti komponen di dalam PH ini,” katanya dalam sidang media.
Sebelum ini, Idris dan Nor Azman antara empat ADUN yang menyatakan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyebabkan DUN terpaksa dibubarkan sehingga PRN terpaksa diadakan.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata keputusan menerima dua bekas ADUN itu dibuat dengan teliti bersama semua rakan komponen.
“Perkara ini kami telah teliti secara mendalam tentang kesediaan kita menerima rakan (Idris dan Nor Azman), yang mana bukan sahaja boleh bersama mengharungi cabaran sebliknya meletakkan asas pentadbiran kerajaan yang kukuh di Melaka selepas pilihan raya ini.
“Saya hendak tekankan bahawa kita tidak pernah mengambil sikap memusuhi semua tiga juta ahli UMNO mahupun ahli Pas, yang kita mahu tentang adalah pemimpin yang rakus dan penerimaan ini memberi ruang kepada kestabilan politik yang berwibawa,” tambahnya.
Pada sidang media yang turut disertai Presiden Amanah Mohamad Sabu itu, Anwar mengumumkan sembilan lapan calon Amanah dan 11 calon PKR .