PRN Melaka: Hasnoor anggap Bukit Katil antara PH dan BN sahaja
Firdaus Azil
November 8, 2021 12:50 MYT
November 8, 2021 12:50 MYT
BUKIT KATIL: Calon Barisan Nasional, Datuk Hasnoor Husin menganggap persaingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, adalah antara partinya dan calon Pakatan Harapan Adly Zahari, biarpun persaingan yang rasmi adalah antara empat penjuru.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya itu berkata, calon Perikatan Nasional Muhammad Al Afiz Yahya pula hanya sekadar bergantung undi Melayu, dan tidak akan mendapat lebih daripada itu.
Katanya lagi, beliau melihat persaingan antara dirinya dengan Adly adalah sekata, kerana Pengerusi PH Melaka itu sudah menjadi mantan Ketua Menteri lebih dari 19 bulan.
“Saya lihat pandangan bahawa Adly adalah mantan Ketua Menteri … dia dah jadi mantan lebih dari 19 bulan. Pada saya persaingan ini at par, dan masing-masing ada peluang. Jadi saya yakin rakyat akan berbalik kepada BN.
“Pas ini pula bekerjasama dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), dan kita tahu parti ini juga harapkan undi Melayu. Jadi saya tak fikir mereka boleh dapat undi lebih. Sebab itu saya fokus kepada PH,” katanya lagi.
DUN Bukit Katil bakal menyaksikan empat penjuru antara Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, dan Abdul Hamid Mustapah dari NGO Gerakan Piagam Rakyat, yang bertanding di bawah tiket Bebas.
Sementara itu, Adly berkata, kesemua calon mempunyai kredibiliti dan sokongan dari pasukan masing-masing.
“Masing-masing ada penyokong, tapi yang paling penting ialah untuk kita semua berlawan secara muhibbah dan manfaatkan proses demokrasi,” katanya lagi.
Selain itu, Adly berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), maka ada batasan tertentu yang perlu diakur – seperti tiada kempen secara bersemuka, atau program walkabout.
Namun beliau berkata, aktiviti sosial masih berjalan, dan majoriti rakyat Melaka celik teknologi maklumat (IT), maka mereka akan memanfaatkan medium yang ada termasuk media arus perdana untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Dalam pada itu, Muhammad Al Afiz, yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Melaka berkata, PN akan memastikan kempen mereka telus, bersih, dan tiada serangan peribadi terhadap calon lawan.
“Kita tak mahu mencari salah dan silap orang, tetapi kita mahu bawa perubahan untuk Melaka. Tak akan ada serangan peribadi dan sebagainya. Pemuda Pas mahu bawa suara yang telus, bersih, di samping memastikan budaya baharu politik negara ini,” katanya lagi.