PRN Melaka: Guna perkataan lahabau, Nie Ching mohon maaf, akui kesilapan memalukan

Firdaus Azil
November 8, 2021 18:43 MYT
Nie Ching mengakui ia jelas satu kesilapan yang memalukan dan berjanji akan lebih berhati-hati sewaktu berkempen. - Gambar fail
MELAKA: Ahli Parlimen Pulai, Teo Nie Ching hari ini memohon maaf kerana menggunakan perkataan 'lahabau’, sebagai sebahagian bahan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Nie Ching mengakui ia jelas satu kesilapan yang memalukan dan berjanji akan lebih berhati-hati sewaktu berkempen.
“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.
“Namun, manusia tidak pernah lepas daripda kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial. Saya cuma ingin berkempen melalui "frame" percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya lagi.
Sumber Facebook TeoNieChing
Terdahulu, Nie Ching dilihat menggunakan frame gambar di Facebook yang mempunyai perkataan “Lahabau Melaka, Jom Undi”, namun telah mengubahnya selepas menerima teguran netizen.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), lahabau antara lain adalah kata makian bermaksud tidak berguna dan tidak boleh diharap.
“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.
“Saya berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuatnaikkan bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka,” katanya lagi.
#PRN Melaka #Teo Nie Ching #lahabau #mohon maaf
;