PRN Melaka: 'FB saya disekat, ini cubaan tutup peluang jadi wakil rakyat' - Calon Bebas Serkam
Harits Asyraf Hasnan
November 17, 2021 16:12 MYT
November 17, 2021 16:12 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Norazlanshah Hazali menyifatkan seolah-olah ada pihak cuba menutup peluangnya menjadi wakil rakyat.
Ini sehubungan pemerhatian yang mendapati akaun Facebook miliknya digodam dan tidak dapat diakses sejak 15 November lalu.
"Saya tidak dapat akses segalanya termasuk news feed, saya tak boleh tengok senarai rakan-rakan termasuk notifikasi.
"Saya telah memohon untuk dapatkan semula akaun saya, namun ketika ini masih lagi bermasalah. Seolah-olah ia telah disekat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelasnya, beliau banyak menggunakan platform Facebook untuk berkempen termasuk menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya.
"Kalau ikutkan, sekatan Facebook ini memang merencatkan perjalanan kempen saya kerana saya ada ramai pengikut di Facebook.
"Baru-baru ini, sewaktu awal kempen, ada yang mengatakan saya ini scammer, antiperubatan moden dan juga antivaksin.
"Jadi, pengikut dan rakan-rakan di Facebook yang banyak membantu dan bagi penjelasan," katanya.
Justeru katanya, beliau kini terpaksa mencari pelbagai alternatif kreatif lain untuk memastikan proses kempennya tidak terbantut.