PRN Melaka: Ejen tidak dibenarkan masuk, calon PH buat laporan polis
Fareez Azman
November 16, 2021 15:21 MYT
November 16, 2021 15:21 MYT
MASJID TANAH: Gara-gara ejennya tidak dibenarkan memasuki Pusat Pengundian Awal (PPA) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Masjid Tanah, calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.04 Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Muhammad Asri Ibrahim membuat laporan polis pada Selasa.
Jelasnya, kejadian berlaku ketika ejen yang mewakilinya itu dihalang memasuki PPA yang terletak di Balai Polis Masjid Tanah.
"Saya membuat laporan polis terhadap Ketua Tempat Mengundi (KTM) Mohd Amar Harun kerana tidak benarkan ejen mewakili saya bertugas di Balai Polis Masjid Tanah hari ini bermula 8.00 pagi, sedangkan ejen saya telah membawa dokumen mencukupi.
"Walaupun wakil calon datang beri penjelasan, tapi tepat jam 8.00 pagi pengundian diteruskan tanpa ejen saya, KTM minta satu dokumen surat lantikan SPR yang mana surat itu tidak perlu," jelasnya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah di sini pada Selasa.
Beliau meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian berkenaan.
"Laporan ini saya buat kerana saya sebagai calon bertanding rasa dikhianati oleh Ketua Tempat Mengundi dan saya dapati beliau menafikan hak saya sebagai calon bertanding di DUN Lendu.
"Saya dulu pernah jadi KTM dan ejen pilihan raya, tolong jangan jadi perkakas pihak tertentu.
"Jangan diperalatkan dengan perkara ini, saya harap isu ini tidak berlaku pada 20 November depan, kalau berlaku maknanya demokrasi dicabuli bukan hanya mereka yang berkuasa tapi yang menguruskan proses demokrasi," jelasnya lagi.