PRN Melaka: Cikgu Ali yakin BN menang kali ini

Israr Khalid
November 12, 2021 13:40 MYT
Lebih tiga dekad dalam politik, ini kali pertama Mohamad Ali bertanding dalam pilihan raya. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yakin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain mampu meraih kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.
Calon BN N11 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang itu berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keadaan di mana parti itu bakal berdepan tentangan yang hampir serupa dengan situasi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tiga tahun lalu.
“Dahulu Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Dan pada masa sama, pada PRU14 juga, menentang Pas, di mana Pas ketika itu bersendirian.
“Pada kali ini, tak ada bezanya, iaitu UMNO-BN menentang parti yang sama dan Bersatu telah bersama dengan Pas dalam menghadapi PRN Melaka ini.
"Tetapi perlu diingat, PH ada juga memenangi kawasan-kawasan DUN Melaka pada PRU14 dengan majoriti yang sedikit bawah 500 undi," katanya yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Ali.
Jelasnya, jika Bersatu masih lagi bersama PH mungkin pakatan itu boleh meraih lebih kurang 300 hingga 500 undi yang memangkah parti bunga raya itu, namun ia tidak berlaku kali ini.
Cikgu Ali turut yakin Pas tidak boleh memenangi pertandingan kali ini, maka PH akan kekurangan undi dan ia akan membawa kelebihan kepada UMNO-BN untuk mencapai matlamat mereka.
Tonton sesi penuh Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop pada Khamis, di sini:
PRN Melaka: Cikgu Ali yakin UMNO menang di Melaka
Dialog Tiga Penjuru: PRN Melaka | Siapa pilihan hati?
#PRN Melaka #Melaka Memilih #Mohamad Ali Mohamad #DUN Sungai Udang
;