PRN Melaka: Calon PH DUN Pengkalan Batu mahu perkasa golongan muda melalui program adik angkat

Bernama
November 10, 2021 22:08 MYT
Muhamad Danish berkata, beliau akan mewujudkan platform bersesuaian bagi menggilap bakat dan potensi pelajar sekolah di kawasan berkenaan. - Gambar/FB Muhamad Danish Zainudin
MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Muhamad Danish Zainudin mahu memperkasakan golongan muda, khususnya pelajar sekolah melalui Program Adik Angkat sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Calon berusia 25 tahun itu berkata beliau juga akan berusaha mewujudkan platform-platform bersesuaian bagi menggilap bakat dan potensi pelajar sekolah di kawasan berkenaan sehingga berjaya agar golongan itu dapat membalas jasa ibu bapa mereka.
"Calon ni masih bujang, belum ada anak. Tak sesuai kalau saya namakan program ini program anak angkat. Jadi adik angkat lebih sesuai dan fokusnya tetap sama iaitu memperkasakan golongan muda, khususnya pelajar sekolah," katanya pada sidang media pelancaran manifestonya di sini hari ini.
Muhamad Danish yang juga Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka berkata beliau juga akan memberi fokus isu kemiskinan dan masalah bekalan makanan yang sering dihadapi golongan tidak mampu terutama sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara.
Beliau yang tersentuh dengan nasib beberapa keluarga yang terputus bekalan makanan ketika pandemik COVID-19 berkata dia juga berhasrat mewujudkan kebun komuniti sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini.
"Kita akan laksanakan kebun komunti berkonsep 'food bank'. Kita akan cari sebuah kawasan untuk bercucuk tanam sayuran yang cepat dan mudah memberikan hasil seperti cili.
Begitu juga ternakan seperti ikan keli. Jadi usaha ini akan membolehkan mereka (keluarga terkesan COVID-19) sentiasa ada sumber makanan, sama ada untuk dijual atau dimakan sendiri," katanya.
Calon yang bakal bertanding menentang penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee itu berkata beliau juga berjanji untuk mengadakan hari bertemu rakyat secara mingguan.
"Ini sebagai satu ruang buat pengundi untuk berjumpa dengan calon atau wakil rakyat bagi membawa sebarang masalah yang dihadapi dalam komuniti,'' katanya.
Bagi kerusi DUN Pengkalan Batu, Muhamad Danish bakal berdepan saingan lima penjuru menentang Norhizam Hassan Baktee (Bebas), Datuk Kalsom Noordin (Barisan Nasional), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional) dan Dr Mohd Aluwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Pengkalan Batu dimenangi Datuk Norhizam Hassan Baktee dari (DAP) yang bertanding atas logo PKR dengan majoriti 2,756 undi menewaskan Chua Lian Chye (Barisan Nasional) dan Ramli Dalip (PAS).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan pengundi berdaftar seramai 495,195 orang dengan 48.57 peratus pengundi lelaki manakala 51.43 peratus adalah wanita.
--BERNAMA
#PRN Melaka #DUN Pengkalan Batu #Muhamad Danish Zainudin #adik angkat
;