PRN Melaka: Calon muda bukti UMNO serius meremajakan parti - Asyraf Wajdi
Ridauddin Daud
November 7, 2021 17:38 MYT
November 7, 2021 17:38 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilihan lebih ramai calon muda, kira-kira 21 peratus daripada keseluruhan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan UMNO kini serius dalam usaha meremajakan parti tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu merupakan perkembangan baik terutamanya sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Meskipun dibarisi hampir 87 peratus muka baharu, beliau tetap berkeyakinan dengan peluang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“UMNO serius untuk melakukan proses rejuvenasi. Selepas ditakdirkan Tuhan, sedikit sebanyak kita boleh kata kita dihukum rakyat walaupun kita kata sebahagian daripadanya adalah fitnah, tohmahan dan sebagainya.
“Tapi saya lebih suka bermuhasabah dalaman, sebab itu kita gerakkan Pemuda, saya kata kita perlu muhasabah dan parti perlu direjuvenasikan. Rakyat mahukan calon-calon yang segar, berwibawa, berintegriti, amanah.
“Rakyat juga mahukan calon yang tidak terpalit dengan perkara yang dikaitkan dengan kontroversi,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
PRN Melaka | Analisis calon-calon bertanding
Tambah beliau, UMNO tidak hanya menampilkan calon yang umurnya muda semata-mata namun calon ditampilkan adalah mereka yang sudah dipersiapkan sejak tiga tahun lepas lagi.
“Yang kita tampilkan seperti mana kriteria disebut Presiden, bukan saja ‘winnable’ tapi ia bergantung kepada calon itu ‘likeable’ dan ‘acceptable’, disukai dan boleh diterima.
“Begitupun, kita tak dapat nak puaskan hati semua orang kerana puaskan hati manusia adalah matlamat yang tak mungkin dicapai tapi yang penting sebagai parti siasah, UMNO dan BN memang secara tabiinya, parti in adalah parti yang bersama rakyat.
“Kalau calon itu kita nak tampilkan, kita kena pastikan ia bukan sahaja dikenali tapi dirasai kehadirannya dalam masyarakat,” ujarnya.
Tegasnya, kesediaan UMNO membariskan lebih ramai calon muda juga menampakkan kesediaan luar biasa parti itu untuk berubah.
[TERKINI] Sidang Media UMNO