PRN Melaka: Calon Ketua Menteri PN akan diumumkan dalam masa terdekat - Wan Saiful

Fareez Azman
November 17, 2021 05:39 MYT
Wan Saiful berkata perkara itu akan diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail
AYER KEROH: Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan calon Ketua Menteri bagi gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada masa terdekat.
Menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, perkara itu akan diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita tunggu Tan Sri Muhyiddin Yassin, orang nombor satu buat pengumuman, kita sengaja tak mengumumkan awal biar kita menang dahulu.
"Di peringkat PN, kita tidak hendak dilihat parti yang tidak habis-habis hendak jawatan Ketua Menteri yang menyebabkan berlaku PRN Melaka. Kita bukan jenis itu, kita fokus politik khidmat," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya di sini pada Rabu.
Turut hadir, calon N.17 Bukit Katil Muhammad Al Afiz dan calon N.18 Ayer Molek, Mohd Fadly Samin.
Ujarnya lagi, isu siapa calon Ketua Menteri Melaka menjadi perkara kedua buat gabungan berkenaan.
"Tetapi ada kemungkinan masa terdekat kita akan umumkan (calon Ketua Menteri), kita tunggu.
"Hari itu saya sebut ada kemungkinan kita umum sebelum dan selepas. Strategi kita tidak hendak umum awal sebab tidak hendak dilihat merebut jawatan Ketua Menteri.
"Ada kekemungkinan kita akan umum dalam masa terdekat," jelasnya lagi.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: 89.9 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab babit 10,390 pengundi - SPR
Mengulas mengenai peluang PN dalam PRN Melaka yang berbaki hanya tiga hari lagi, jelas Wan Saiful, beliau optimis rakyat di negeri itu akan memberi peluang kepada gabungan PN.
"Dari segi data-data kita dapati kebanyakan pengkaji pilihanr aya kita boleh katakan saya tidak hendak kata kita selesa, tetapi yakin potensi itu ada.
"Kalau kita kata yakin confirm dapat (menang) itu terlalu selesa pula, bagi semua parti situasi ini adalah mencabar (parti) yang sombong pun kata cakap boleh berbincang. Jangan sombong awal," ujarnya lagi.
PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman.
SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.
#PRN Melaka #calon ketua menteri #Wan Saiful Wan Jan #Muhyiddin Yassin